Tiada yang lebih bermakna kepada pasangan suami isteri apabila mahligai cinta mereka diserikan tangisan dan gelak tawa si kecil.
Namun setiap hambaNya menerima rezeki berbeza, tidak terkecuali pelakon dan penyanyi, Izzue Islam dan isteri, Awin Nurin, 34.
Biar rumah tangga yang dibina belum dikurniakan cahaya mata, mereka terus optimis dan enggan menyalahkan takdir.
Walau tiada mempunyai perancangan mengambil anak angkat, mereka tidak menolak untuk menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan.
Katanya sejak mendirikan rumah tangga hampir lima tahun, mereka suami isteri tidak pernah berhenti berusaha bagi menimang cahaya mata.
Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, bagaimana pun memaklumkan belum bertemu mana-mana pakar.
“Setakat ini saya dan isteri sudah melakukan pelbagai ikhtiar yang rasanya tidak perlulah dikongsi dengan orang luar.
“Cuma sebagai hambaNya, kami reda dan yakin rezeki Allah itu tetap ada. Hanya perlu usaha, sabar dan tawakal.
“Ada juga yang mencadangkan kaedah IVF tetapi kami belum berkesempatan berjumpa doktor," katanya.
Pada masa sama, dia menegaskan tidak tertekan berdepan pertanyaan mengenai anak malah percaya Allah memberi mereka rezeki dalam kerjaya dulu sebelum mengurniakan anak.
“Kami yakin insan ada rezeki masing-masing. Jika bukan cahaya mata, mungkin diberikan dulu kemudahan dalam bekerja.
“Mungkin selepas kehidupan kami lebih kukuh barulah rezeki anak pula menyusul selepas ini,” ulasnya lagi.
Terdahulu Izzue dan Awin yang turut bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya bergelar suami isteri pada 2 Jun 2013.