KAW

“Jangan tegakkan benang yang sudah basah wahai Afifah Nasir” – Aliff Aziz

Mohamad Bakar 08/08/2017 | 05:12 MYT
Ketika pelakon baru kontroversi, Afifah Nasir menyifatkan dirinya menjadi mangsa keadaan pihak produksi yang melahirkan idea untuk dia melayan kerenah Aliff Aziz serta perasaannya hanya kerana mahu baki penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu jadi lancar dan lebih cepat selesai, pelakon dan penyanyi tinggi lampai itu pula kembali bersuara.

Bagi Aliff, dia menyangkakan adik kepada Anzalna itu akan membuat keputusan matang dengan mengakui saja kesilapan yang dilakukan sendiri ketika berlangsungnya sidang media pelakon wanita itu Isnin lalu di Publika, Solaris Dutamas. Tetapi sebaliknya yang terjadi apabila Afifah menggunakan alasan menyalahkan pihak produksi pula.

Lalu plot cerita kontroversi drama dalam drama ini menjadi bertambah menarik. Ada rencah baru yang terus berpanjangan. Jika minggu lalu, Aliff dan isterinya, Bella Astillah mengadakan sidang media.

Namun ternyata beberapa hujah yang dibangkitkan Afifah turut menarik perhatian Aliff sendiri untuk diperkatakan serta dikupas semula.

Malah ada hujah yang disifatkan Aliff menerusi apa yang dibentangkan Afifah tidak beretika, tersasar dan mengarut sama sekali.

"Dia (Afifah) ada menyebut dirinya menjadi mangsa keadaan apabila pihak produksi menyuruhnya melayan kerenah dan bermanja dengan saya supaya dapat beri mood dan datang ke lokasi penggambaran sekali gus melunaskan baki kerja lakonan kami.

"Jika betul apa yang dikatakan itu, saya mahu tanya dia kembali. Berapa usianya yang tak boleh menentukan apa yang betul atau salah? Dia bukan berusia belasan tahun lagi untuk mengikut telunjuk orang dengan alasan kononnya nak membantu produksi melunaskan kerja penggambaran dengan cepat.

"Saya berusia 26 tahun. Dia 24 tahun. Beza usia kami hanya jarak dua tahun. Sejauh mana dia boleh berkorban sekalipun jika benar dakwaannya pihak produksi meminta dia buat begitu begini untuk diri saya. Dia boleh katakan tidak untuk hal yang dia sendiri tak mahu dilakukan. Jangan guna alasan kononnya masih baru dalam dunia seni. Bukan dia tak dibayar untuk berlakon dan ada hak menolak perkara yang bertentangan dirinya," kata Aliff.

Malah penyanyi lagu Sayang Sayang Sayang itu turut mengajak semua berfikir secara logik, jika dirinya yang bermasalah kenapa tidak pihak produksi saja yang bertindak.

"Saya tak perlu nak selamatkan diri dengan membabitkan orang lain. Saya sendiri mengaku silap saya sebelum ini dan meminta maaf kepada isteri, keluarga, peminat dan semua kerana khilaf yang dibuat.

"Saya ingat pihaknya akan matang untuk berdepan hal ini. Saya dan dia tahu perkara sebenar seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini. Apa yang saya teliti semula daripada kenyataannya memang ada yang tak masuk akal. Apa yang terjadi babit hal peribadi, tak perlu babitkan produksi yang beri rezeki. Tak perlu berdolak dalik, tak perlu nak tegakkan benang yang sudah basah.

"Tak pernah pengalaman saya tak datang set sebelum ini sebab atau kerana contohnya heroin buat hal. Malah jika saya bermasalah tak datang set lapan hari dan lambat sekalipun, pihak produksi boleh terus call saya. Pihak produksi boleh saman dan bertindak ke atas saya jika saya tak melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui dari awal," katanya.

Mengenai permohonan maaf Afifah kepada Bella kerana membiarkan tangannya dipegang Aliff ketika berada di premis karaoke, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu turut kembali mempersoalkan motif adik kepada Anzalna itu.

"Dia (Afifah) itu patung ke untuk membiarkan tangannya dipegang saya? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya. Come on Afifah.

"Malah dia sendiri ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu terjadi. Tapi dia pergi juga pusat karaoke itu.

"Saya sendiri menerima hukuman secara langsung kerana hal itu diketahui isteri. Kantoi petang hari sama juga apabila kami berdua di pusat karaoke itu. Sedangkan dia terus berdolak dalik termasuk membabitkan seorang lagi pelakon Allana Amir yang kononnya akan turut serta dengan kami di pusat hiburan itu tetapi disuruh balik selepas Bella datang," katanya.

Beberapa hal lain turut dibangkitkan Aliff termasuk rakaman perbualan yang dirakam Anzalna dengan seorang yang didakwa bekerja dengan produksi drama berkenaan.

"Saya rasa sesiapa saja boleh berlakon menjadi pekerja produksi itu hingga ia diperdengarkan saja kepada wartawan tanpa boleh dirakam atas alasan bimbang wujud kenyataan yang disalah guna dan menjejaskan reputasi. Kalau rasa betul kenapa tak didedahkan saja identiti yang dimaksudkan.

"Dia juga ada bangkitkan soal perundangan dengan ada bukti yang kukuh jika apa apa terjadi. Saya juga boleh berbuat demikian kerana sudah berunding hal itu jika perlu berbuat demikian.

"Allana Amir yang didakwa rakan lakonan yang baru dikenalinya menerusi drama itu. Apa masalah dia sebenarnya? Bukan dia ada setiap hari di set penggambaran pun. Apa yang dia cuba lakukan pun saya kurang pasti atau mungkin cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dengan kontroversi ini.

"Untuk Wan Ariff (kekasih Afifah) dia ada berpesan untuk saya menjaga elok elok isteri dan anak. Saya juga mahu berpesan sama kepadanya. Jagalah kekasih awak elok elok juga. Jika selama ini pihak luar mungkin kasihankan isteri saya kerana perangai ini, saya juga kasihankan kepadanya. Jika betul selama ini dia ada bercerita segala serbi mengenai kerjanya dan dianggap betul, maka betullah. Tapi bukan dia setiap hari ada di set penggambaran pun," katanya.

Mengenai hal lambat dan tidak datang ke set penggambaran itu, Aliff mengakui akan hal itu namun bersebab.

"Sebab pertama memang saya sakit. Sebab kedua, isteri saya sedang sarat mengandung dan menunggu waktu untuk melahirkan anak kami. Takkan tak ada peri kemanusiaan jika berada di tempat saya yang isterinya sedang berbadan dua," katanya.

Aliff seboleh bolehnya mahu melupakan kontroversi ini sekali gus melunaskan baki penggambaran drama yang tinggal beberapa hari lagi.

"Api yang panas saya fikir akan dipadam dengan air. Tapi mereka bermain minyak pula. Saya bimbang minyak yang dituang itu akan membakar diri dan kena muka pula.

"Masa itu tanggunglah sendiri. Masing masing akan tahu kebenarannya nanti," katanya.

#Drama Luar Drama