Enggan dengar kritikan mengenai kebolehannya menyanyi menyuntik semangat Janna Nick untuk terus mencabar diri menghasilkan single baharu.
Lagu berjudul Akan Bercinta yang menjadi lagu latar drama adaptasi Coffee Prince nyata sekali lagi membuktikan vokal pelakon itu mampu meraih perhatian ramai.
Dalam tempoh empat hari dikongsi di YouTube, dendangan yang turut dihasilkan bersama video muzik sentuhan Janna sendiri menarik lebih 300,000 tontonan.
“Saya tidak mahu semangat saya luntur hanya disebabkan kata-kata individu yang cuma tahu mengkritik tanpa memberikan cadangan membina.
“Kalau nak ikut cakap orang yang mempertikaikan itu dan ini, mungkin saya akan berada di tempat yang sama selama-lamanya.
"Jadi lebih baik saya terus lakukan sesuatu yang positif seperti diharapkan peminat. Dalam masa sama, saya juga bertanggungjawab sebagai pengarah muzik video dan penerbit," katanya.
Mengenai percubaan pertama di kerusi sutradara, akuinya cita-cita bergelar pengarah memang sudah ada sejak dia mula berkecimpung di arena seni.
Malah tanggungjawab berkenaan digalas sebaik mungkin seperti mana dia serius dalam melunaskan amanah di arena lakonan mahu pun nyanyian.
"Istimewanya saya berpeluang menghasilkan klip video sendiri dari A sampai Z iaitu bermula dengan idea, proses penerbitan dan pengarahan.
“Sepanjang berada di Rome, Itali untuk menjayakan penggambaran Coffee Prince, kami turut merakamkan babak bagi dua single termasuk satu lagi nyanyian duet saya dan Alvin Chong.
“Saya memang ada impian mahu bergelar sutradara dan buat masa ini saya masih belajar lagi ilmu pengarahan selain tugasan belakang tabir,” katanya.
Sebelum ini, pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner, 22, pernah muncul bersama lagu berjudul Mungkin Saja.
Dedah Janna lagi, walau berdepan dugaan bermacam dugaan seawal ketika rakaman apabila terpaksa dimasukkan ke hospital pada hari sepatutnya rakaman diadakan, hasilnya tetap membanggakan.
"Sebagai lagu tema drama adaptasi ini, kami mengejar masa menyiapkan keseluruhan lagu dan video muzik.
“Faktor kesihatan dan masa juga antara kekangan tetapi saya bersyukur apabila kerja berpasukan melancarkan segala urusan.
“Saya juga bertuah apabila dapat menyiapkan tugasan dalam tempoh diberikan hasil kerjasama kru lain termasuk pengarah Coffee Prince,” ulasnya lagi.