Nora Danish kembali luluh hatinya hingga berkongsi luahan di Insta Story apabila anaknya, Mohamed Neqayl Nazri atau Ney Ney terus menjadi mangsa kecaman dan ‘membawang’ orang lain.

Jujur, Nora menerusi perkongsian berkenaan berkata artis juga manusia biasa yang mempunyai perasaan apabila fizikal Ney Ney terus diperkatakan.

Semua ada keistimewaan masing-masing.

“Anak saya ini bukan anak mat salih atau apa yang kena nampak sempurna. Dia anak Melayu. Semua manusia di dunia ini ada keistimewaan masing-masing.

“Nak kutuk pun, membawang ke, kutuklah benda lain. Kutuk ciptaan Allah tak ada rasa takut dalam hati ke? Apa salah Ney Ney dekat kamu semua?

Lebih emosi dan sensitif.

“Tak semestinya jadi public figure ini hati kering. Kami juga ada perasaan seperti kamu. Sebenarnya kami ini ada lebih emosi dan sensitif kerana kami orang seni. Sebab itu jadi pelakon,” tulis pelakon comel itu.

Tulis Nora lagi, jika dia ada buat salah, tegurlah tanpa perlu membabitkan anaknya.

“Kalau kita ada buat salah tegurlah. Tak perlu membawang tanpa sebab. Cuba membawang keluarga sendiri dan tengok apa yang mereka rasa,” katanya.

Semoga dapat hidayah.

Nora juga berharap mereka yang berhati hitam dan mengecam anaknya itu akan diberikan hidayah suatu hari nanti.

Terima kasih kepada yang sentiasa mendoakan.

“Saya doakan semoga Allah beri hidayah pada anda dan bukakan hati supaya jadi bersih putih bersinar. Insya-Allah. Yang sentiasa memuji, Alhamdulillah syukur dan saya doakan semoga anda mendapat pahala yang banyak kerana membahagiakan kami yang teraniaya,” tulisnya.