Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang selama ini menjadi badan bukan kerajaan yang aktif memperjuangkan aktiviti dan kebajikan membabitkan penggiat seni tempatan tampil menyokong cadangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) pada tahun ini.

Merujuk cadangan PFM agar mewujudkan kategori bukan bahasa Malaysia termasuk anugerah utama, Filem Terbaik nyata mengundang pelbagai pandangan berbeza dalam kalangan penggiat seni yang menyokong dan tidak.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, Festival Filem Malaysia (FFM) secara tradisi adalah festival yang mengiktiraf filem-filem yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium dan matlamat ini sebenarnya memberi galakan kepada penggiat seni perfileman menghasilkan filem dalam bahasa Malaysia.

“Menerusi FFM dengan mewartakan Anugerah Filem Terbaik kepada filem berbahasa Malaysia merupakan langkah relevan kerana ia akan terus memberi motivasi kepada produser filem tempatan menghasilkan filem berkualiti dengan mengguna pakai bahasa ibunda.

“Ianya juga sebagai langkah logik untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan dan penerus legasi semangat filem Melayu tertulis sejak era Jalan Ampas yang perlu dipelihara serta diteruskan dengan pembikinan filem bahasa Malaysia oleh generasi masa kini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, KARYAWAN menyedari sejak kebelakangan ini wujud filem dalam bahasa lain yang turut diterbitkan dalam kualiti terbaik dan mencapai kutipan membanggakan untuk produser filem tempatan.

“KARYAWAN amat bersetuju dengan cadangan PFM membahagi dan menambah Anugerah Filem Terbaik kepada dua kategori iaitu Filem Terbaik Dalam Bahasa Malaysia dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia sebagai solusi terhadap isu yang timbul.

“Pembahagian ini bukan saja memberi pengiktirafan pada filem tempatan bukan bahasa Malaysia tetapi menambah jumlah filem yang akan memenangi anugerah selain menentukan kesinambungan kepada legasi filem Melayu.

"Isu yang timbul boleh diatasi dengan mencari jalan tengah sebegini yang bakal memuaskan hati semua pihak dan tidak perlu dipolitikkan lagi,” katanya.