Kenapa JoHaRa Pagi Era Tidak Akan Keudara Lagi Di Sabah?
Jika sebelum ini pendengar Era FM Sabah mendengarkan segmen Johara Pagi Era setiap pagi sama seperti pendengar di semenanjung, bermula 24 April ini kandungan Era FM Sabah akan bertukar dengan menghidangkan 100% kandungan lokal, menepati selera pendengarnya.
Tiada lagi segmen JoHaRa Pagi Era di Sabah? Era FM Sabah kini sedang dalam misi mencari penyampai pagi menerusi kempen Pencarian Penyampai Pagi Era FM Sabah.
Menurut Pengurus Besar Astro Radio, Hafizuddin Nizamuddin, “kami berbesar hati membawakan kandungan sepenuhnya yang memfokuskan keunikan bumi Sabah. Inilah peluang terbaik untuk anak-anak Sabah yang berbakat besar dan bercita-cita untuk menjadi penyampai radio, menyertai keluarga Era FM Sabah sebagai penyampai”.
Diraikan juga oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, beliau percaya Era FM Sabah akan kekal menjadi stesen radio nombor satu di Sabah. “Menerusi kandungan lokal ini, ia mampu mengangkat budaya, bahasa, warisan dan keindahan negeri Sabah”, ujarnya lagi.
Buat anda yang berminat menyertai pencarian ini boleh datang ke lokasi yang telah ditentukan iaitu bermula jam 5.00 petang hingga 7.00 malam di CKS Donggongon pada 20 Mac, Center Point pada 21 Mac dan Servay Putatan pada 22 Mac. Selain itu, ujibakat turut diadakan di Universiti Malaysia Sabah pada 23 Mac bermula 12.00 tengahari sehingga 2.00 petang dan di Genting Mas Sandakan Harbour Mall pada 24 Mac bermula 2.00 petang hingga 4.00 petang dan 5.00 petang hingga 7.00 malam.