Selepas mengecapi kejayaan menerusi dua buah lagu, Redha dan Pesan hingga berjaya melonjakkan namanya, penyanyi remaja Irfan Haris kembali dengan single terbaharunya yang berjudul Hilang.

Dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari lagu ini menyaksikan penyanyi berusia 17 tahun itu mempertaruhkan lagu pertama ciptaan sendiri bersama abangnya, Haikal Iskandar.

Idea spontan.

Bercakap mengenai single terbaharunya itu, Irfan memberitahu idea menghasilkan lagu itu berlaku secara spontan ketika dia dan Haikal duduk bermain piano.

“Saya sangat teruja dengan kemunculan single terbaru ini kerana ia adalah kolaborasi saya dengan abang sendiri.

Proses cipta lagu dan tulis lirik yang menyeronokkan.

“Idea menulis lirik dan menggubah melodinya berlaku secara spontan sekitar Jun tahun lalu ketika kami duduk bermain piano.

“Haikal tiba-tiba mendapat melodi dan dari situ kami kembangkan selain liriknya juga terkeluar secara spontan.

“Ia proses yang menyeronokkan di samping memberi kepuasan berbeza kerana ia adalah lagu ciptaan saya dan abang,” kata adik kepada pelakon dan penyanyi Amira Othman itu.

Berdasarkan pengalaman sendiri.

Jelasnya lagi, lagu itu begitu dekat di hatinya kerana kisah yang ditampilkan adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

Kata Irfan, ketika proses rakaman lagu itu, dia lebih menjiwainya kerana apa yang disampaikan datang daripada hatinya.

Masih genre balada.

“Lagu ini memang ada kena mengena dengan saya. Biasalah zaman remaja banyak ‘cinta monyet’ dan saya gunakan pengalaman itu untuk dijadikan sebuah lirik dan lagu.

“Ia masih mengekalkan genre balada seperti mana dua single terdahulu saya namun lagu ini lebih istimewa kerana ia datang daripada saya sendiri untuk semua peminat,” katanya.

Titik mula tulis dan gubah lagu.

Irfan dalam pada itu turut mengakui berasa gementar menantikan reaksi pendengar terhadap percubaan pertamanya itu namun meletakkan keyakinan ia akan diterima baik peminat.

Anak muda ini turut memberitahu lagu Hilang akan menjadi titik permulaannya untuk meneroka bidang penulisan dan gubahan lagu pada masa hadapan.

Video Muzik dan single dilancarkan serentak.

Sementara itu, Irfan berkata, dia juga sudah menyiapkan video muzik bagi lagu itu yang menjalani penggambaran dua minggu lalu dan ia mendapat sentuhan pengarah, Izuan Mokhtar.

Video muzik itu dilancarkan di Youtube serentak dengan pelancaran singlenya pada 9 Februari lalu.

Lagu Hilang sudah boleh dimuat turun.

Lagu Hilang diterbit dan diedarkan oleh Seventeen Eleven Music Sdn Bhd.

Selain Youtube, lagu ini boleh dimuat turun menerusi platform seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.