Hanya tinggal dua hari kita sebagai rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan negara. Mungkin ramai antara kita hanya mengingati hari bersejarah ini sebagai cuti umum dan mungkin juga ramai yang terlupa sambutan kemerdekaan kali ini adalah ke-59.

Di sebalik kurangnya penghayatan masyarakat di negara ini terhadap pengertian kemerdekaan negara ada baiknya kita menonton filem pendek yang dihasilkan sempena sambutan merdeka pada tahun ini. Tiga filem pendek kali ini yang dipilih membawa mesej yang cukup mendalam untuk dikongsi bersama penonton.

1. Bunga Bangsa

Filem pendek terbitan I&P Group ini mengisahkan kesabaran seorang guru bernama Rahman yang mendidik anak bangsanya untuk berjaya. Dia mula mengambil berat terhadap Aman, salah seorang pelajarnya yang kerap ponteng sekolah kerana dipaksa abangnya untuk berniaga bunga. Dibintangi Beto Kusyairy, Syafie Naswip dan Azhan Rani, semangat guru seperti Rahman patut dicontohi kerana tidak putus asa memujuk Aman untuk kembali ke sekolah dan menduduki peperiksaan. Apa yang ingin disampaikan adalah kepentingan ilmu pada sesorang amat penting untuk berjaya dalam hidup.

"Bangsa berilmu adalah bangsa yang punya masa depan, ilmu adalah keagungan, ilmu adalah kekayaan, ilmu adalah pertahanan dan ilmu pintu kepada segala-galanya."

Tonton video di sini: http://www.facebook.com/inpgroup/videos/1121338734623530/



2. National Day 2016: Connect to be free

Kisah seorang lelaki iaitu Ah Wong yang sering beremosi, pemarah dan mempunyai persepsi negatif pada orang lain. Hidupnya serba tidak kena apabila seorang lelaki bermotosikal melanggar keretanya dari belakang. Dia juga mempunyai tanggapan negatif terhadap orang buta menjual tisu, menghalau tukang mesin rumput yang datang ke rumahnya dan memarahi isterinya yang lambat menyediakan makan malam kerana sibuk menguruskan kerja rumah. Namun, apa yang menyentuh perasaan adalah realiti kehidupan orang lain ini yang tidak diketahui Ah Wong. Mesej yang disampaikan menerusi filem pendek terbitan Digi Telecommunications ini cukup mudah iaitu kita boleh memilih hidup gembira dan membantu orang lain.

"Kita tak pernah rasa bebas melainkan bebas daripada menghakimi."



3. Deka - Kisah Seorang Budak

Seorang budak lelaki yang diberi nama Merdeka sering diejek rakan-rakan sekolah. Namun, dia yang kini sudah bersara dan meniti usia emas berasa sedih melihat makna hari kemerdekaan negara pada masa kini sekadar cuti umum. Filem pendek terbitan UMW ini bukan saja menceritakan kisah individu bernama Merdeka semata-mata tetapi menjadikan sambutan hari bersejarah ini terus istimewa setiap tahun.

"Seharusnya ia terus kekal istimewa di hati kita semua."