Bangkit daripada kehidupan sebagai gelandangan, Ben Nathan yang popular dengan lagu Stanza Sekeping Hati sekitar era 80-an bakal tampil dalam konsert khas di Saloma Bistro pada 21 Mei ini.

Dinamakan Konsert Kasih dan Harapan- Ben Nathan, majlis yang bermula jam 12 tengah hari itu diilhamkan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) dengan kerjasama Jojo Enterprise bermatlamat mengumpul dana bagi membantu penyanyi berkenaan.

Ben Nathan satu ketika dulu.

Presiden YA1M, Datuk DJ Dave mengakui sokongan ramai menerusi pengumpulan dana dapat membantu Ben memulakan kehidupan baharu selepas bertahun meninggalkan dunia seni sebaik hidup di jalanan.

Katanya, sumbangan terbabit juga akan disalurkan bagi merealisasikan impian Ben menghasilkan single baharu yang diharapkan dapat disempurnakan di Jakarta, Indonesia seperti diimpikan.

“Kami berbesar hati apabila ramai menyatakan sokongan untuk membantu Ben selepas kisahnya tersebar di media. Bagi rakan seperjuangan lain, anda boleh membantu dengan membeli tiket atau menyerahkan sumbangan.

Antara lagu yang menjadi siulan ramai suatu ketika dulu.

“Konsert ini nanti bakal ditunjangi ramao penyanyi termasuk Datuk M Nasir, Datuk Nash, Fredo, Ramlah Ram, Sahara Yaacob hanya pada harga tiket bermula RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 untuk setiap meja.

“Kami juga menyediakan tiket perseorangan berharga RM100 termasuk makan tengah hari. Biar apa pun, segala yang dirancang ini adalah untuk memberi sokongan terhadap Ben memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media konsert itu di Hard Rock Café yang turut dihadiri Ben. Berbeza ketika ditemui beberapa bulan lalu, kini Ben tampak lebih kemas dengan potongan rambut pendek.

Terdahulu, namanya menjadi bualan ramai apabila video memaparkan dirinya dalam keadaan tidak terurus menjadi tular pada Januari lalu.

Poster konsert.

Penyanyi itu dikatakan sering kelihatan merayau di beberapa kawasan sekitar ibu kota sejak bertahun-tahun namun hasil usaha YA1M dan keluarga, beliau dapat dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Difahamkan, artis berasal dari Perak itu kerap meluahkan permintaan sama ketika ditemui rakan artis mahu pun keluarga iaitu mahu ke Jakarta bagi merakamkan lagu baharu.

"Ben sudah semakin sihat sekarang, cuma kini beliau ditempatkan sementara di sebuah rumah khas dalam pengawasan doktor dari segi fizikal dan mentalnya," katanya.