Kaw
Lando Jadi 'Adiwira' Selamat Nyawa Pengguna Jalan Raya
Pengaruh media sosial yang pantas dalam menyalurkan maklumat kepada ramai pengguna dalam masa beberapa saat di mana saja di seluruh dunia nyata memberi manfaat pada ramai untuk berkomunikasi dan berkongsi masalah.
Begitu juga, pelakon Azlan Sani Nawawi atau Lando yang sering berkongsi cerita mengenai aktiviti bersama kumpulannya, Ikatan Silaturrahim Brotherhood yang bertindak sendiri menurap lubang di jalan raya untuk memberi manfaat pada pengguna.
Meskipun caranya seolah mencabar pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak segera menyelesaikan masalah jalan berlubang tetapi tindakan beraninya itu secara tidak langsung menyelamatkan nyawa ramai pengguna apatah lagi di kawasan yang sering dilalui pelbagai kenderaan khususnya penunggang motosikal.
Dalam 'posting' terbaru di Facebook baru-baru ini, dia memuat naik gambarnya bersama dua individu lain menurap jalan berdekatan menara berkembar KLCC. Usaha Lando bersama rakannya menjalankan aktiviti ini meraih komen positif ramai pengguna di media sosial yang memuji usahanya prihatin dan pantas bertindak menyelesaikan masalah jalan berlubang.
Lando yang menjadi pengasas kumpulannya itu sejak tahun 2007 mewujudkan hubungan kumpulan persaudaraan lebih besar atau dipanggil 'brotherhood' dalam kalangan pengguna jalan raya yang kini aktif membabitkan sembilan negeri dan 71 daerah di seluruh negara, seperti dilaporkan The Star.
Tambahnya, setiap minggu dia menjalankan satu operasi yang membelanjakan kos antara RM70 sehingga RM3,500 bergantung jenis penyelenggaraan yang perlu dilakukannya. Sehingga kini, dia sudah membelanjakan sebanyak RM100,000 membaiki jalan berlubang di sekitar Lembah Klang sehingga Johor.
Must-Watch Video