Terus mengunci mulut mengenai lagu ciptaan trio hebat, KRU manakah yang bakal dirakamkan semula oleh dirinya, Liyana Jasmay selesa membiarkan hal itu menjadi kejutan dan tanda tanya. Ibu kepada Sofia Arissa dan Selena Fathudin itu memberitahu lagu ciptaan KRU itu akan digubah semula sebagai lagu runut bunyi filem Bella & Jamie yang dijangka menemui penonton di pawagam Oktober depan.

(Kredit Gambar: Instagram Liyana Jasmay @liyanajasmay)

Bella & Jamie yang dilakonkan Liyana sendiri di samping Juliana Evans diterbitkan produksi Mermaid Studio.

“Sebab musabab kenapa lagu ciptaan KRU itu dipilih ia ada kaitan dengan karakter untuk Bella & Jamie. Ia seperti anthem untuk karakter berkenaan. Kalau tengok filem ini nanti, akan faham kenapa lagu itu yang dipilih.

“Cuma saya tak boleh dedahkan lanjut judul lagu mana. Yang pasti ia memang antara sebuah lagu ciptaan KRU yang pernah popular dan masih diingati hingga kini,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

(Kredit Gambar: Instagram Liyana Jasmay @liyanajasmay)

Selain lagu berkenaan, isteri kepada Fathudin Mazlan juga akan merakamkan sebuah single terbaharu berjudul Rasa Begitu.

“Lagu ini menyusul selepas dua single terdahulu, Oh Na Na dan Selesa Tanpamu dipromosikan. Lagu Rasa Begitu sudah saya siapkan demonya. Kalau tiada aral selepas raya akan dirakamkan lagu itu.

(Kredit Gambar: Instagram Liyana Jasmay @liyanajasmay)

“Saya selesa mempromosikan banyak single dalam masa terdekat kerana mahu mengubah cara kebiasaan. Kebiasaannya sebuah single dipromosikan dalam tempoh lama. Tapi saya mahu mempromosikan banyak single berturut turut seperti apa yang saya buktikan sekarang,” katanya yang akan muncul dalam filem Sindiket.