Dua penyanyi popular, Aishah dan Liza Hanim akui gementar untuk menjayakan konsert Semalam Di Malaya yang dibawakan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 15 dan 16 September ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Selain sambutan hari Malaysia pada 16 September ini, konsert tersebut juga diadakan bagi meneruskan keraian ulangtahun ke-20 tahun penubuhannya.

Aishah kembali ke Dewan Filharmonik Petronas selepas sedekad

Aishah berkata, perasaan teruja dan gementar bercampur baur untuk kembali ke pentas berprestij itu walaupun pernah mengadakan persembahan pada 2009.

“Pada 2009 saya pernah bersama MPO menjayakan Konsert Irama Warisan. Sudah hampir 10 tahun tidak beraksi bersama MPO, saya gementar tetapi dalam masa sama teruja.

Aishah ketika majlis sidang media baru-baru ini

“Saya teruja untuk bekerjasama dengan penggubah-penggubah muda seperti Leonard Yeap, Luqman Aziz, Syed Sharir Faisal Syed Hussain, Jenny Chin dan Vivian Chua.

“Selain itu saya turut berbesar hati kerana penyanyi hebat seperti Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio turut bersama untuk mempersonakan hadirin yang hadir nanti,” katanya.

Aishah dan Liza Hanim gementar

Pada konsert berdurasi dua jam itu, Aishah bakal mempersembahkan beberapa lagu antaranya Setangkai Kembang Melati.

Sementara itu, Liza Hanim pula meluahkan rasa syukurnya kerana impian untuk membuat persembahan dan berkongsi pentas bersama kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menjadi kenyataan.

Tambah Liza lagi, dia turut berasa gemuruh kerana bakal berkongsi pentas dengan tiga penyanyi popular lain iaitu Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

Liza Hanim tunggu 21 tahun untuk bersama MPO

“Rasanya semua penyanyi mengimpikan persembahan bersama kumpulan orkestra, itu satu pencapaian yang cukup besar, tambah-tambah lagi saya menunggu 21 tahun untuk impian tercapai.

“Saya gemuruh kerana tidak dapat membayangkan bagaimana susunan muzik dan perubahan dalam lagu-lagu yang akan disampaikan. Bagaimanapun setakat ini saya sudah membuat persiapan rapi untuk konsert yang bakal diadakan dua hari berturut-turut itu,” katanya.

Tidak tunggu lama untuk beri jawapan kepada MPO

Dalam pada itu, Aishah dan Liza turut mengucapkan terima kasih dan rasa berbesar hati kerana diundang pihak MPO.

Konsert Semalam Di Malaya akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose. Konsert ini merupakan kelangsungan siri konsert muzik tradisional persembahan MPO di DFP selepas Irama Warisan Kita (2009), Keroncong Merdeka (2012) dan Malaysia Tanah Airku (2014) yang mendapat sambutan baik dari penggemar muzik tempatan.

Tiket konsert Semalam di Malaya sudah mula dijual sejak Jun lalu.

Harga tiket adalah RM358 untuk tempat duduk Premium, RM254 (A Reserve), RM198 (B Reserve) dan RM141 (C Reserve).