Bukan mudah untuk menyanyikan lagu yang pernah didendangkan oleh Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma apatah lagi untuk sebuah pertandingan. Jika silap percaturan, boleh menjerat leher sendiri. Dan kenyataan itu bertepatan menggambarkan apa yang berlaku terhadap salah seorang peserta AFMegastar, Indah Ruhaila apabila beliau tersingkir malam tadi.

Mungkin ada yang menganggap keputusan Indah untuk menyanyikan lagu isteri kepada seniman negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu sebagai kurang bijak namun bagi si empunya diri itu adalah salah satu daripada usahanya untuk membuktikan yang dirinya adalah penyanyi serba boleh.

Mahu cuba sesuatu yang baharu.

“Sebelum ini, saya ada menyatakan yang tujuan saya menyertai program ini adalah untuk mencuba perkara baharu yang belum saya pernah lakukan. Saya sering mendapat komen yang saya sering menyanyikan lagu bernada tinggi. Untuk mengelakkan orang muak, untuk minggu ini saya mahu lebih tone down.

“Disebabkan itu untuk minggu ini, saya memilih untuk menyanyikan lagu Saloma. Saya mahu orang di luar semua tahu yang saya juga boleh menyanyikan lagu yang tidak terlalu tinggi dan memerlukan cara penyampaian yang merdu. Bila tersingkir minggu ini maknanya mereka lebih suka saya menyanyikan lagu bernada tinggi,” ujar Indah sambil ketawa.

Apabila penyanyi berusia 30 tahun ini berani mati menyanyikan lagu seorang ikon yang cukup gah di peringkat nusantara, adakah ini juga bermakna Indah sengaja mahu mengambil risiko terutama ketika saat-saat pertandingan sudah hampir ke kemuncaknya?

Terpaksa ambil pilihan kedua.

Menjawab pertanyaan itu, pemilik nama Siti Ruhailah Hussein ini berkata sebab lain yang membuatkan dia memilih untuk menyanyikan lagu Saloma adalah disebabkan pilihan lagu yang sangat terhad.

“Sejujurnya, my first choice adalah Anita Sarawak. Saloma ini pilihan kedua saya. Saya tahu nama Saloma memang besar tetapi saya tak ada pilihan. Lagipun ikon wanita tidak ramai. Lagipun tugasan kali ini memang tough kerana kami kena nyanyi secara mash up. Ada lagu yang rhythm tidak sama dan ini memang sangat mencabar,”ujarnya.

Terdahulu ketika program baru bermula, penonton turut dipaparkan dengan jumlah markah yang berjaya dikutip setiap peserta dan Indah menduduki tempat tercorot. Apakah itu juga memberi satu tekanan buat penyanyi yang berasal dari Johor Bahru ini?

Tercorot tidak jejas persembahan.

“Perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan fokus saya dan saya tak fikir pun pasal itu kerana setiap minggu, saya selalu tanamkan dalam diri yang ia bukanlah malam saya. Bagaimanapun saya akui, apabila tersingkir ni, sedikit sebanyak memang rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Idayu. Kami jadi rapat sebaik sahaja menyertai program ini dan berdasarkan persembahannya, dia memang layak untuk bergelar juara,” katanya yang bakal merakamkan single baharu ciptaan Hael Husaini selepas ini.

Mengenai dakwaan gayanya persis Dayang Nurfaizah seperti yang ditonjolkannya saban minggu, Indah menafikan dia cuba meniru pemakaian penyanyi Lelaki Teragung itu.

Nafi tiru imej Dayang Nurfaizah.

“Memang tak masuk akal langsung. Apapun saya anggap itu satu complimen buat saya cuma saya tak berapa selesa kerana tak mahulah nanti orang kata saya sengaja meniru gaya dia. Saya nak tegaskan di sini yang soal gaya, pemakaian semuanya ditentukan oleh penata gaya saya. Saya memang tak masuk campur langsung, ”tegasnya.