KAW
“Malu Pada Anak-Anak Yang Membesar Bersama Kalau Kami Bermasam Muka.” – Joe
Selepas sekian lama mengelak daripada mengulas kemelut perpisahan dengan Wings, Joe akhirnya membuka mulut pada majlis memperkenalkan penyanyi utama kumpulan barunya, Prime Domestic, Rabu lalu.
Namun bekas pemain gitar utama Wings itu, tetap berpegang kepada prinsip enggan bercakap buruk mengenai rakan lain yang tinggal iaitu Awie, Black dan Eddie.
Akui pemilik nama Abdul Zamin Kadir, 47, itu, seakan beban berat sudah diangkat dari bahunya selepas Awie yang juga vokalis Wings mengumumkan mereka tinggal bertiga berikutan pengunduran dirinya.
"Tiada apa yang harus digaduhkan. Saya anggap saja jodoh saya dengan Wings tidak panjang. Pada usia menginjak 50-an ini saya lebih tenang. Lagipun mereka seperti adik beradik malah anak-anak kami membesar bersama. Malu pada anak-anak kalau kami bermasam muka.
"Sekarang saya sudah bersama Prime Domestic sekali gus tumpuan kini adalah persembahan sulung pada 2 April depan disusuli penerbitan album," katanya lagi yang berharap peminat terus menyokong Wings dan kumpulannya, Prime Domestic.
Joe berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media berkaitan persembahan kumpulan barunya, Prime Domestic yang dijadualkan berlangsung di House, GTower pada 2 April depan.
Prime Domestic yang diasaskan pada tahun 2011 bersama Hillary Ang yang juga bekas pemain gitar Search itu turut membariskan mantan Search dan NRG, Syed Ahmad Fauzi (bass) selain Ainul (dram) dan Aweera selaku vokalis.
Sebelum ini desas-desus pengguguran Joe daripada Wings timbul selepas tempatnya digantikan seorang pemuzik undangan ketika konsert ambang tahun baharu di Melaka.
Ia kononnya disebabkan beliau didakwa menjadi punca konsert sempena ulang tahun ke-30 Wings di Kota Kinabalu, Sabah yang sepatutnya berlangsung pada 24 Disember 2016 lalu ditunda.
Rentetan daripada spekulasi hangat itu, vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie ketika ditanya media baru-baru ini mengesahkan kumpulan rock yang ditubuhkan pada 1987 itu tinggal bertiga termasuk Black dan Eddie.
Begitupun, tatkala diminta mengulas sama ada beliau berundur seperti dikatakan Awie, Joe tetap mengunci mulut malah menegaskan perkara berkenaan akan terus dibincangkan ramai andai kedua-dua pihak saling berbalas komen.
"Soal undur atau gugur, saya tetap kekal dengan enggan mengungkit atau membangkitkan kisah lalu. Bagi saya sejarah tidak boleh diubah dan terpulang kepada mereka untuk mencorakkan masa depan selepas ini.
"Biar kami berempat saja yang tahu puncanya. Bagi peminat di luar sana doakan saja persahabatan kami terus baik. Saya juga doakan rakan-rakan lain terus sukses. Teruskanlah legasi Wings," ulasnya lagi.
Sementara itu, tiket menyaksikan persembahan Prime Domestic di House G Tower, Jalan Tun Razak boleh ditempah menerusi 013 3212131 atau layari http://billplz.com/pdshowcase.