KAW
Mawi Galas Tugas Sebagai Sutradara Filem
Tiga tahun berturut-turut menyandang gelaran Bintang Paling Popular bermula 2005, Mawi mendedahkan menangis hampir tiga bulan selepas kali pertama memenangi trofi utama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu.
Mengenang memori yang terpahat hanya selepas enam bulan dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia (AF) musim ke tiga, katanya perubahan hidup 360 darjah membuatkan beliau keliru.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Awalnya saya cuma menemankan kawan baik menghadiri uji bakat AF. Bayangkan dalam saringan pertama seramai 100 calon, saya yang memegang nombor terakhir – 100, boleh ‘sangkut’.
“Terkejut juga saya sebab jadi satu-satunya peserta yang mendapat kad hijau. Bermakna saya dapat ke saringan seterusnya manakala teman saya tiada rezeki. Sedih sebab dia yang beria-ia mengajak.
“Apa pun, selepas menang AF3 saya dipilih pula sebagai Bintang Paling Popular tidak sampai pun enam bulan. Waktu itu perasaan saya berbelah bagi kerana terfikir sebagai orang baru layakkah saya menerima trofi itu.
“Hampir tiga bulan juga saya menangis. Antara terkejut, gembira dan syahdu bersilih ganti. Memang hidup saya berubah serta merta. Ke kedai mamak pun orang tegur.

“Saya macam tak percaya. Baca kisah sendiri dalam surat khabar dan majalah pun saya boleh menangis, apatah lagi dengar nyanyian sendiri di radio dan TV, menitis air mata ini,” katanya yang mengakui sukar menerima perubahan itu pada awal awalnya.
Namun kini, penyanyi, penerbit dan pengarah drama itu melihat pengalaman lalu sebagai pemangkin baginya meneruskan kelangsungan bakat selepas lebih 12 tahun berkecimpung di arena seni.
Berkongsi lagi rahsia, penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena Tsumawi itu memaklumkan masih menyimpan segala keratan akhbar dan majalah yang memaparkan kisahnya sejak dulu.
“Kalau ikutkan, saya mengkompilasikan setiap keratan dalam puluhan album. Saya simpan buat kenangan untuk anak cucu. Bagi saya setiap memori sangat bermakna,” katanya yang kini bakal menambah portfolio sebagai sutradara filem.

Julai depan, pemilik Mawi World Entertainment (MWE) itu akan mula turun padang bagi merealisasikan filem genre komedi Islamik berjudul Rock Sangkut.
Diangkat daripada telefilem terbitan syarikatnya yang pernah disiarkan di televisyen, Mawi berkata sambutan ramai terhadap drama yang dihasilkan tiga tahun lalu membuktikan ia masih mempunyai pengikut.
“Buat masa ini, tumpuan saya masih kepada penggambaran filem di bawah arahan Syamsul Yusof, Munafik 2. Bekerja dengan “Kesemua Lagu Pengarah Filem Terbaik seperti Syamsul membolehkan saya banyak belajar ilmu pengarahan," ulas pemilik nama sebenar Asmawi Ani, 35, itu.
Must-Watch Video