Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Melawat Wany? Biarlah Rahsia” - Khai Bahar

Chempaka Nur Iman
14/03/2018 06:15 MYT

Nama Khai Bahar panas semula lagi apabila penyanyi itu enggan mendedahkan sama ada pergi melawat rakan artis yang digossipkan dengannya, Wany Hasrita ketika gadis terbabit dimasukkan ke hospital, baru-baru ini.

Malah pelantun lagu Bayang itu lebih selesa tidak memberikan jawapan pasti dan menegaskan biarlah perkara berkenaan hanya diketahui mereka berdua.

Pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 24, itu tidak mahu sebarang pengakuan boleh mencetuskan spekulasi liar berkenaan hubungan dengan Wany sekali gus mampu mengundang fitnah.

“Biarlah rahsia. Cuma saya dan dia saja yang tahu kalau pun saya datang melawat. Apa yang penting, sebagai kawan saya doakan dia segera sembuh sebaik saja dimaklumkan mengenai berita terbabit.

“Sebelum ini pun saya sudah tegaskan kami cuma kawan baik. Sejujurnya saya tak kisah pun dikatakan rapat dengan Wany asalkan peminat gembira. Selain Wany, saya juga dikaitkan dengan Ara Johari.

“Bagi saya ia sekadar usikan peminat dan saya anggap ia asam garam dalam bidang yang saya ceburi ini. Selagi tidak mendatangkan fitnah, tidak mengapa. Namun dalam soal melawat ketika Wany diserang virus Influenza B tempoh hari, biarlah hanya kami yang tahu,” katanya.

Khai yang ditemui Rojak Daily Kaw! pada majlis pelantikannya selaku duta produk penjagaan wajah di Putrajaya, semalam turut mendedahkan ada peminat tegar membuka laman Instagram khusus untuknya dan Wany.

“Sebenarnya saya pun baru tahu wujudnya akaun terbabit yang banyak memuatnaik gambar dan aktiviti kami. Saya anggap ia sebagai tanda penghargaan penyokong kami. Selagi tidak disalahguna, saya okay,” katanya lagi.

Terdahulu, kebanyakan pengikut tegar kedua-dua penyanyi muda terbabit menganggap Khai dan Wany, 25, secocok sebagai pasangan kekasih selepas masing-masing muncul dalam sebuah program hiburan yang menyerlahkan keserasian mereka.

Mengenai pemilihan sebagai duta produk buat julung kali hanya selepas tahun kedua dalam industri hiburan, akui Khai bukan disebabkan terlalu mengutamakan tawaran wang sebaliknya dulu jadual aktiviti seni terlampau padat hingga takut tidak mampu memberikan komitmen.

“Saya tahu ada yang tertanya-tanya kenapa baru sekarang saya ambil tawaran sebagai duta produk. Banyak faktor yang perlu saya pertimbangkan terutama kekangan masa dan kini rasanya adalah waktu terbaik untuk saya bekerjasama dengan jenama ini,” ulasnya lagi.

#Selebriti #Selebriti