Persahabatan yang terjalin dengan Alif Satar selepas membintangi drama dan teater Dia Semanis Honey, membuatkan Siti Nordiana tidak berfikir panjang untuk memilih papa hot dua anak itu sebagai model video klip single terbarunya, Terus Mencintai. Penggambaran video muzik itu juga Rojak Daily Kaw! dapat tahu diadakan baru-baru ini.

Terus Mencintai menjadi buah tangan terbarunya selepas lagu Pesanan Teragung ciptaan Audi Mok dan lirik Omar K pernah dipromosikan sebelum ini.

“Memang dia pilihan pertama. Kerjasama ini lebih kepada situasi menang-menang. Hari ini dia tolong saya, hari seterusnya saya pula. Ini namanya sebuah nilai persahabatan. Lagipun saya selesa dengannya,” kata penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu.

Mengenai single sebelum ini, penyanyi yang mesra disapa Nana itu sedar ada yang belum dapat menerima perubahan genre yang dilakukan terhadap lagu Pesanan Teragung.

Kerjasama antara saya dan Alif lebih bersifat situasi menang-menang. (Kredit Gambar: Mohamad Bakar)

Single itu dihadiahkan pihak Astro selepas menjuarai Gegar Vaganza musim kedua. Lagipun Nana sudah lama mengidam memilih menggunakan khidmat komposer Audi Mok.

“Saya anggap dalam soal berkenaan lebih kepada trial and error. Jujur, secara peribadi, saya sukakan lagu itu kerana memberi kelainan terhadap konsep lagu 'tangkap leleh' yang sering saya dendangkan sebelum ini.

"Jadi, memang saya tak nafikan, ada peminat yang sedikit terkejut dengan kelainan lagu ini yang lebih terarah kepada irama pop. Saya sedar ada peminat yang masih mengharapkan saya menyanyikan lagu irama era 1990-an. Apa-apapun saya harap single terbaru, Terus Mencintai ini akan memikat hati peminat semula,” katanya.

Dalam pada itu, ibu tunggal kepada seorang anak ini akan kembali ke penggambaran drama bersama Alif sekali lagi.

“Ia akan diarahkan Michael Ang juga dalam tahun ini. Sebelum itu saya juga akan terbabit dengan sebuah penggambaran telefilem,” katanya yang akan melancarkan single Terus Mencintai pada 22 Mac ini di sebuah pusat membeli belah terkenal.