Kaer Azami bukan nama asing di pentas seni. Bakatnya digilap menerusi pertandingan Akademi Fantasia musim kedua. Malah dia pernah meletup dengan lagu Izinku Pergi. Lagu berkenaan pernah memenangi kategori Balada Anugerah Juara Lagu kali ke-22 tetapi dinyanyikan Sahri.

Pernah merajuk.

Namun kerjaya seninya bagai tenggelam timbul. Pernah merajuk dengan ragam industri hiburan, jejaka yang berimej botak itu kini sebenarnya tidak pernah melupakan dunia nyanyian. Sekalipun mempunyai jenama fesyen sendiri Quhji dan Kazama, minat menyanyi itu tidak pernah terhakis sama sekali.

Muncul kembali selepas empat tahun.

Kali terakhir, Kaer muncul dengan single menerusi lagu Andai kira-kira empat tahun lalu. Kini selepas lama menyepi, Kaer tiba-tiba hadir dengan lagu duet bersama Amylea berjudul Tak Pernah Hilang. Lagu itu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea itu dilancarkan di platform digital, Jumaat lalu manakala video muziknya pula disiarkan pada 17 April.

Pernah rasa tidak yakin.

“Memang saya pernah lost dan down dulu. Pernah ada ketika yang mengundang saya membuat persembahan pun terbit rasa tak yakin diri nak menyanyi. Saya jadi gementar. Boleh ke menyanyi lagi?

Ramai yang mahu dia kembali.

"Selama ini saya banyak dihujani pertanyaan dan persoalan di laman sosial selain ada yang bertemu depan mata mahukan saya menyanyi semula. Jelas di sini biarpun saya dilihat sudah tak aktif menyanyi, mereka semua masih mahu mendengar saya menyanyi. Kira-kira empat bulan lalu pun, peminat terus bertanya hal ini.

Ibu pun turut bertanya.

“Beribu mesej masuk di DM Instagram. Sampai saya ambil masa untuk membaca satu persatu. Rasa nangis terduduk pun ada dengan kata kata semangat mereka yang mahu lihat saya terus menyanyi. Ia bakar semangat. Ibu saya sendiri pun antara penyokong tegar. Ibu siap tanya tak rindu ke nak menyanyi balik? Semua itu suntik semangat saya kembali menyanyi,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Akhirnya duet jadi kenyataan.

Bercerita lanjut mengenai kolaborasinya dengan Amylea, hal itu sudah lama tercetus.

“Kami sebenarnya saling menyokong sebagai teman industri. Sejak zaman di Akademi Fantasia lagi. Hasrat nak berduet ini sudah lama tapi tak pernah jadi. Ikutkan sejak tiga tahun lalu lagi, kami hampir nak berduet. Cuma rezeki masa itu tak jadi. Akhirnya ia jadi kenyataan juga menerusi lagu ini.

Harap lagu jadi hit.

“Dapat tahu pula ia akan jadi soundtrack drama Nur lakonan Syafiq Kyle, siapa yang tak teruja. Saya dengar drama lakonannya selalu jadi hits. Jadi ia insya-Allah boleh jadi mileage untuk lagu duet kami,” katanya sambil tersenyum.