Selepas lima hari, pelawak Mamak Puteh yang juga bintang Super Spontan Xtravaganza (SSX), mengumumkan nama anak keduanya di laman sosial Instagram (IG).

Memilih untuk menamakan anak lelakinya sebagai Mohamad Ian Yusuff, Mamak memberitahu, nama tersebut ‘muncul’ selepas berbincang dengan isteri Ellina Abdul Wahab.

Nyawa Mamak...Ian dan Iris

“Sebenarnya kami tidak merahsiakan pun nama anak seperti yang didakwa sesetengah pihak. Jujurnya, kami baru dapat saja nama tersebut.

“Saya dan isteri bersepakat untuk memberi nama tersebut kerana ia mudah diingati dan simple. Macam yang kita tahu Islam pun menggalakkan kita memilih nama yang sekurang-kurangnya membawa maksud yang baik,” katanya ketika dihubungi Rojak Daily Kaw!

Gelagat Mamak bersama Lobster Leleh

Mamak dan Ellina berkahwin pada 2014 dan dikurniakan anak perempuan, Iris Nur Adawiyah, 4, sebelum menyambut kehadiran Mohamad Ian Yusuff pada 8 Ogos lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persembahan tidak konsisten kumpulan Lobster Leleh yang diwakilinya dalam SSX, Mamak berkata, pasukannya telah memberikan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Kenangan di minggu kedua pentas Super Spontan Xtravaganza sebelum Jaa Suzuran disingkirkan

“Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi tak apa...Loster Leleh masih ada beberapa minggu lagi untuk bangkit dan menyamai kedudukan dengan Sotong Kangkong,” katanya bersemangat.

Minggu keempat SSX menyaksikan dua ahli kumpulan Lobster Leleh, Zara Zya dan Anas disingkirkan.
Mampukah Lobster Leleh menewaskan Sotong Kangkung minggu ini? Jangan lupa saksikan Siaran Langsung Super Spontan Xtravaganza, minggu kelima , Jumaat ini, pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Mamak ditemui selepas siaran langsung Super Spontan Xtravaganza di Panggung Percubaan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), malam Jumaat lalu.