KAW

Mungkin 10 Artis Malaysia Ini Berpotensi Menang Anugerah Oscar Pertama!

Elrafaei Sapi 02/03/2017 | 07:52 MYT
Kejayaan 'Bapa Filem Melayu', Tan Sri P Ramlee di pentas antarabangsa khususnya di rantau Asia memang tiada tandingan. Mungkin tidak ramai yang tahu, beliau pernah meraih anugerah pertama, Pencipta Lagu Terbaik menerusi filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar di Pesta Filem Asia ke-3 di Hong Kong. Begitu juga, beliau menjadi pelakon filem Melayu pertama menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia menerusi filem Anakku Sazali pada Pesta Filem Asia ke-4 di Tokyo, Jepun. Malah, beliau meraih Anugerah Filem Komedi Terbaik Asia untuk filemnya, Pendekar Bujang Lapok ketika Pesta Filem Asia ke-6 berlangsung di Kuala Lumpur.
Sejurus itu, Pesta Filem Asia ke-10 di Tokyo mengiktiraf P Ramlee sebagai 'The Most Versatile Talent' iaitu artis serba boleh bersandarkan lakonannya dalam filem Ibu Mertuaku. Memang bukan calang artis boleh menang empat anugerah peringkat Asia. Kemenangan itu membuktikan beliau bukan hanya 'jaguh kampung' yang bangga dengan filem sendiri tetapi hebat di peringkat antarabangsa. Namun, selepas 44 tahun P Ramlee tiada di dunia, persoalannya apakah kita mempunyai calon yang mampu mengikuti jejak langkah Seniman Agung itu yang bukan saja gigih berkarya tetapi berjaya di peringkat antarabangsa?
Aktor kelahiran California, Amerika Syarikat, Mahershala Ali memberi kejutan menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Moonlight yang juga diangkat sebagai Filem Terbaik pada acara Anugerah Academy baru-baru ini. Apa yang menarik perhatian, aktor ini menjadi pelakon Muslim pertama menang anugerah Oscar. Mungkin kejayaan Mahershala memberi inspirasi pada pelakon Muslim lain termasuk artis tempatan kita untuk meraih peluang sama mencipta nama di dalam anugerah berprestij di peringkat antarabangsa.
Namun, peminat tertanya bila gamaknya giliran artis tempatan berpeluang menang anugerah Oscar? Sepertimana kita rakyat Malaysia pernah diperkenalkan dengan Wawasan 2020 dan kemudian Transformasi Nasional 2050 (TN50), industri perfileman tempatan juga menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sepatutnya sudah mempunyai sasaran dan pelan jangka panjang untuk membawa filem dan pelakon tempatan bertanding di peringkat antrabangsa.
Kita mempunyai ramai pelakon berbakat sama ada senior atau baru. Berikut antara 10 pelakon tempatan pilihan Rojak Daily Kaw! yang pernah mencipta nama menang pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa yang mungkin berpotensi menang anugerah Oscar suatu hari nanti.
1. Maya Karin
Kejayaan pelakon berusia 38 tahun ini meraih Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Fukuoka, Jepun, 13 tahun lalu membuktikan dia adalah pelakon wanita tempatan pertama yang mencipta nama di peringkat Asia menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam. Maya yang membina kerjaya seni di peringkat awal sebagai penyanyi dan pelakon bersama Metrowealth turut mencipta kejayaan menerusi sekuel filem itu yang meraih anugerah sama pada Festival Filem Espano Terrror & Fantasy di Sepanyol pada tahun 2005. Lakonannya menerusi filem Nota membawa tuah padanya menang anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2016.
2. Shaheizy Sam
Filem Adnan Semp-it menampilkan Shaheizy Sam sebagai pelakon utama berjaya melonjak namanya semula sebagai pelakon berbakat besar. Lakonannya menerusi Polis Evo mencatat kutipan pecah panggung tertinggi pada tahun 2015. Sam membuktikan dia adalah pelakon berpotensi dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-24 menerusi filem Kongsi selepas menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Evolusi KL Drift) pada acara anugerah sama, setahun sebelum itu. Lakonan menerusi Songlap membawa tuah padanya menang Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin ke-16 dan Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) menewaskan calon hebat lain seperti Jericho Rosales (Filipina) dan Gurmit Singh (Singpura).
3. Bront Palarae
Popular menerusi drama bersiri, Rona Roni Makaroni bersama Sharifah Amani di Astro Ria pada tahun 2008, Bront Palarae atau nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin sudah membintangi 40 filem termasuk drama bersiri, Halfworlds terbitan HBO Asia arahan Joko Anwar. Bakat seninya menerusi filem Belukar diiktiraf selepas menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM ke-23 dan Anugerah Skrin ke-14. Begitu juga, lakonannya dalam filem Psiko Pencuri Hati membawa rezeki menang anugerah sama pada Anugerah Skrin ke-18. Pencapaian tertinggi diperoleh selepas menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik atas lakonan Terbaik Dari Langit pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015).
4. Zahiril Adzim
Zahiril Adzim berjaya meraih anugerah di Russia pada tahun lalu. (Gambar: zahiriladzim - Instagram)
Pelakon berusia 33 tahun ini mencipta kejayaan peribadi dalam kerjaya seninya ketika menang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik untuk filem Kami The Movie pada FFM ke-22 pada tahun 2008. Dia lebih dikenali dengan watak Daim menerusi drama bersiri dan filem francais, Juvana akhirnya berjaya meraih pengiktifan antarabangsa menerusi filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures menang Pelakon Lelaki Terbaik pada acara International Motivational Film Festival Bridge Of Arts 2016 (IMFF 2016) yang berlangsung di Russia pada Ogos tahun lalu.
5. June Lojong
Lakonan June Lojong menerusi filem Redha diiktiraf satu festival filem di Filipina . (Gambar: _nam_ron_ - Instagram)
Tidak ramai yang kenal atau menyedari June Lojong mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan sehingga lakonannya menerusi filem Redha berjaya membawa tuah padanya menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Perdana Antarabangsa 2016 di Manila, Filipina. Kemenangan isteri pada pelakon Namron ini dinilai juri acara itu berdasarkan watak ibu penyayang yang membesarkan anak yang menghidap autisme. Sepertimana Redha berjaya menembusi pasaran filem luar negara sehingga bertanding untuk Anugerah Academy dan Golden Globe Awards pada tahun ini, June yang mempunyai wajah iras dengan pelakon Nadiya Nisaa juga mempunyai bakat seni sebagai pelakon yang boleh pergi jauh.
6. Nam Ron
Nam Ron pernah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik sebanyak dua kali. (Gambar: _nam_ron_ - Instagram)
Wajahnya lebih sinonim dengan drama televisyen tetapi Nam Ron mempunyai 'aura' sebagai pelakon antarabangsa jika diberi peluang membintangi filem berskala besar. Lakonannya menerusi Redha membawa hasil apabila dia bersama Harith Haziq dan Izzy Zulkhazreef menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kazan yang diadakan di Kazan, Russia pada September, tahun lalu. Nam Ron juga mencatat kejayaan yang sama pada acara Anugerah Skrin 2016.
7. Puteri Balqis
Pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa terhadap bakat seninya selepas menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik (kategori Drama) pada acara Anugerah Televisyen Asia 2014. Sebelum itu, dia turut menang anugerah sama pada acara Anugerah Skrin pada tahun sama. Pada usia 10 tahun kini, dia mempunyai masa depan cerah dalam lakonan jika diberi peluang berlakon dalam karya yang berkualiti mungkin bersama pengarah dan produksi luar negara.
8. Sharifah Amani
Sharifah Amani pernah menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada usia 20 tahun. (Gambar: Malay Mail Online)
Berpengalaman luas membintangi pelbagai drama bersiri, telefilem dan filem, pelakon Sharifah Amani mencipta kejayaan besar dalam karier seninya selepas menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada FFM ke-19 pada tahun 2006. Kejayaannya itu dinilai menerusi lakonan filem Gubra arahan Yasmin Ahmad dan menariknya, dia menjadi pemenang paling muda untuk anugerah itu pada usia 20 tahun. Dia juga pernah menang anugerah sama pada acara Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Mualaf dan pada tahun 2014 dengan filem Psiko Pencuri Hati. Dari aspek lakonan di peringkat antarabangsa, dia pernah membintangi filem Redemption Night arahan Takato Hosoi pada tahun 2015 diikuti filem Asian Three Fold Mirrors 2016: Reflections menerusi Pigeon arahan Isao Yukisada. Mungkin jika ada karya yang sesuai kolaborasi antara produksi Malaysia dan Jepun membuka ruang baru pada pelakon tempatan di negara ini mencuba nasib menembusi pasaran antarabangsa seterusnya menyertai acara anugerah di peringkat global.
9. Datuk Rosyam Nor
Meskipun Datuk Rosyam Nor dalam kategori pelakon senior tetapi pengalamannya membintangi banyak filem membuktikan beliau masih relevan untuk terus berlakon. Beliau membuktikan dirinya seorang pelakon berbakat besar dengan pelbagai anugerah yang pernah dimenanginya dan mampu menjiwai pelbagai watak. Sungguhpun, beliau pernah dikritik penonton selepas hanya membawa watak kecil dalam filem Kabali bersama superstar Tamil, Rajinikanth pada tahun lalu tetapi beliau berfikiran positif melihat potensi untuk masuk ke pasaran filem di India dan antarabangsa. Jika Rosyam berjaya menembusi pasaran filem Tamil, ini bermakna beliau juga berpontensi mencipta kejayaan lebih besar di pasaran luar negara.
10. Afdlin Shauki
Dikenali artis serba boleh sebagai pelakon komedi, pelawak, pengacara majlis dan program bual bicara serta pengarah filem, nama Afdlin Shauki cukup gah untuk mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa. Afdlin pernah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM Ke-15 pada tahun 2001 menerusi filem Soal Hati dan paling bermakna filem arahannya, Papadom menang lima anugerah pada FFM Ke-22 untuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Seperkara yang menarik perhatian khalayak adalah dia bekerjasama dengan produksi Hollywood bersama pengarah, Roger Christian menerbitkan filem Sandakan Tears yang mempunyai perancangan mengambil aktor popular, Hugh Jackman. Siapa tahu, mungkin nama Afdlin bersama filem ini nanti boleh dicalonkan ke Oscar selepas ini.
#Oscar #Oscar