Di saat ada pelakon yang cuba mencipta sensasi dengan barangkali mewujudkan kontroversi atau publisiti murahan, Nadia Brian pula selesa mendaki perjalanan seninya yang hampir empat tahun itu dengan cara yang sepatutnya.

Baginya biar lambat asal selamat, daripada naik mendadak dan kemudian jatuh menjunam.

Sedar biar namanya masih belum cukup kuat meninggalkan impak dalam kalangan peminat, pelakon jelita berdarah campuran Melayu-Australia itu selesa begitu.

Bakat seni masih belum diuji.

Dia sedar namanya jarang dihimpit kontroversi seperti segelintir artis lain yang pantas mengukir nama sekalipun bakat seni belum teruji. Namun di sebalik semua itu, bagai ada hikmah tersendiri, dia memang tak pernah putus rezeki berlakon.

“Berkemungkinan juga saya tiada kontroversi yang boleh memanaskan nama ini. Saya memang sedar ada yang melihat kontroversi sebagai ruang melonjakkan nama hingga pengikut di laman sosial boleh bertambah.

Elak kontroversi.

“Tapi sejujurnya saya seboleh-bolehnya mengelak begitu. Saya hanya selesa diri sendiri. Saya mahu ikut platform yang betul dan bangga kalau ada yang mengikuti saya di laman sosial disebabkan mutu lakonan dan bukannya kisah kontroversi,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Sekalipun memilih naik dengan cara betul sekalipun memakan masa, Nadia berfikiran terbuka tanpa langsung bersikap prejudis terhadap perihal kontroversi.

Terpulang pada kehendak masing-masing.

“Bagi saya kontroversi tetap ada sisi baik dan buruk. Good or bad, publicity is still a publicity. Ia terpulang kepada cara kita menghakiminya. Cuma janganlah kita terlampau mencari kontroversi hingga lupakan niat sebenar terjun dalam dunia seni.

“Saat ini perjalanan seni saya masih terkawal tanpa ada suntikan kontroversi yang meloyakan. Cuma saya tak boleh ramal apa akan jadi in future apakah kerjaya seni ini akan lancar tanpa sebarang kontroversi atau sebaliknya,” katanya.

Bakal berlakon filem.

Memasuki tahun baharu, Nadia membintangi drama Zam dan Shah arahan Jamal Khan.

“Selesai penggambaran drama itu, saya masuk ke set baharu iaitu projek drama slot Zehra, Teratai Kemboja arahan Along Kamarudin. Drama ini ditunjangi Elly Mazlein dan Datuk Adi Putra.

“Insya-Allah kalau tiada aral melintang, saya akan berlakon filem di bawah arahan Ahmad Idham, tidak tak lama lagi,” katanya.