KAW
Nadya Tidak Kisah Tidak Menjadi Heroin
Bukan kepalang terkejut Nadya, 23, apabila tiba-tiba dia dimarahi seorang wanita pertengahan usia ketika sedang berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Dengan wajah yang masam mencuka wanita itu melontarkan kata-kata dalam keadaan marah, ‘Bella, kau jangan kejam sangat dengan Hani,”.
Begitulah berkesannya watak antagonis yang dibawakan Nadya dalam drama Dia Semanis Honey. Teraju utama drama yang baru saja habis bersiaran di Astro Ria itu dipegang Aliff Satar (sebagai Ahnaf) dan Siti Nordiana (Hani).
Melihatkan profil dirinya, Nadya atau nama sebenarnya Nadya Syahera Rosli bukanlah ‘orang baru’ dalam bidang lakonan. Dia pernah muncul dalam drama Jiran Sebelah Pintu, Isteri Separuh Masa, MAID, Bencinta dan Maafkan Aku Jika Tak Sempurna.

“Saya sangat terkejut dengan respons penonton terhadap watak Bella. Walaupun drama itu sudah habis bersiaran, mereka terus mengingati saya sebagai Bella dan nama itu terus melekat sehingga sekarang.
“Ketika membawakan watak itu, saya sentiasa pastikan adakah karektor Bella itu cukup jahat dan saya sudah melakukan sehabis baik untuk menghidupkan watak itu.
“Berkesannya watak Bella sehingga followers saya di Instagram bertambah sehingga 100,000,” katanya.
Ujar Nadya lagi dengan imejnya yang bertudung, pada mulanya ramai kurang yakin dia boleh membawakan watak Bella.
“Sekarang saya berjaya membuktikan imei dan penampilan saya tidak membataskan apa saja watak termasuklah watak hitam.
“Dalam kehidupan kita yang sebenar, perempuan seperti Bella ada dalam masyarakat, bertudung tetapi memiliki sikap buruk suka menyakiti hati orang yang kita gelar ‘talam dua muka’.

Tak kisah tak jadi heroin
Kini pelakon yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu dihujani tawaran berlakon dan watak antagonis menjadi pilihan pengarah untuknya.
“Saya tak kisah jika pengarah terus percayakan saya untuk membawa watak hitam tetapi watak jahat yang saya dapat sekarang tidaklah ‘sejahat’ Bella.
“Terbaru saya berada di lokasi penggambaran drama Abang Bomba I Love You dan watak saya bernama Mawar.
“Seakan sama seperti Bella namun Mawar agak baik daripada Bella. Hero dan heroin drama itu ialah Hisyam Hamid dan Amyra Othman,” katanya.
Selepas namanya meniti di bibir peminat, tidakkah Nadya mengangankan watak utama pula?
“Pengarah lebih tahu posisi yang sesuai untuk saya. Sama ada watak utama, kedua, ketiga atau keempat, tiada menjadi masalah kepada saya.
“Asalkan watak yang diberikan boleh saya bawa dengan baik seperti mana karektor Bella yang saya melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Must-Watch Video