Awal bulan lalu heboh apabila seorang pelakon dilaporkan ditahan polis akibat penemun dadah jenis ganja dalam kereta yang dinaikinya bersama seorang kawan dan adiknya.

Nadzmi Adhwa adalah pelakon berkenaan yang tampil menafikan dirinya terlibat. Dalam satu sidang media hari ini, pelakon dan pengacara itu menafikan dia pernah mengambil dadah sepanjang 25 tahun usianya.

"Saya tidak pernah ambil dadah sepanjang hidup saya dan apa yang berlaku adalah kerana saya berada bersama orang yang salah di tempat yang salah.

"Syukur saya dibebaskan dengan jaminan polis dan dimaklumkan tiada pertuduhan ke atas saya dan saya hanya membantu siasatan," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Nadzmi yang juga seorang pengacara berkata, dia turut memohon diberikan peluang kedua dan kembali aktif dalam industri hiburan selepas senyap dalam tempoh sebulan.

Dia yang juga berlakon dalam drama Hati Perempuan berkata, dirinya dan syarikat pengurusannya menanggung kerugian kira-kira RM80,000 ekoran kontroversi yang tercetus itu.

"Saya akui perkara ini memberikan kesan yang mendalam terhadap kerjaya dan keluarga saya termasuk pandangan masyarakat.

"Saya bersyukur saya tidak bersalah dan keluarga terutamanya ibu bapa saya paling kuat memberikan sokongan dalam tempoh sukar ini," katanya.

Nadzmi berkata, dia juga kini memilih untuk meluangkan masa di rumah bersama keluarga dan mahu lebih bijak memilih kawan.

Dia berkata, dirinya juga tidak akan keluar lewat malam bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang.