Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Nampak Pendiam Tapi Dia Kelakar” - Aisya Hasnaa

Mohamad Bakar
09/12/2017 19:41 MYT

Sehari selepas Abam Bocey bernikah dengan pilihan hatinya, Siti Nurhidayah Mohd Ali, dua lagi artis mengikuti jejak sama melangsungkan hari bahagia mereka.

Penyanyi dan pengacara Aisya Hasnaa juga mendakap bahagia dengan pasangannya apabila bernikah pada pagi Sabtu.

Aisya melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Yasir Azizan, 29, di Surau Al Barakah, Menara Bank Rakyat kira-kira jam 10 pagi. Pasangan berkenaan dinikahkan Imam Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Ustaz Haji Mohd Azri Ahmad Kamil Al Hafiz.

Pada majlis itu, Aisya atau nama sebenarnya Aisyah Hasnaa Umaruddin menerima RM300 sebagai mas kahwin, selain wang hantaran RM15,000 dan lima dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang.

Menurut Aisya yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Kau Takdirku, mereka sebenarnya serius menjalinkan hubungan pada tahun ini. Selepas lima bulan akrab, mereka nekad melangsungkan pertunangan pada 2 September lalu.

“Tapi kalau nak dikira lebih tepat, kami kenal sudah lama ketika di sekolah menengah lagi. Dia kenal saya sejak saya di tingkatan satu lagi. Tapi lucunya, dia bukan circle of friend saya.

“Saya lebih berkawan dengan kawan-kawannya berbanding dia. Saya ini jenis gila-gila, dia pula ketika kami di bangku sekolah sangat pendiam. Dipendekkan cerita, kakak saya dan kawan kami cuba ‘menjodohkan’ saya serta dia. Sejak beberapa bulan lalu, kami cuba mengenali antara satu sama lain.

“Lebih mengejutkan, dia sebenarnya sangat kelakar orangnya. Ibaratnya dia macam saya tetapi versi lelaki selepas kami berkenalan semula. Jadi sesuailah ibaratnya dua kepala gila-gila bertemu. Malah dari awal kami keluar dating lagi, dia sudah mula menunjukkan sisi sebenarnya yang selama ini saya lihat hanya pendiam,” katanya mengimbas cerita mengenai pertemuan dengan Yasir.

Mengenai statusnya kini, Aisya berharap perkahwinan yang bina akan mekar bahagia sampai bila-bila.

“Saya harap akan menjadi isteri yang terbaik buatnya,” katanya.

Sehari selepas bernikah, mereka diraikan dalam satu majlis resepsi ibu kota.

#Perkahwinan Selebriti #Perkahwinan Selebriti