Pertunangan pemain gitar bass Search, Nasir Daud, 57, pada Mei lalu mengejutkan peminat dan kali ini dia memeranjatkan ramai lagi apabila mengesahkan perkahwinannya dengan wanita asal Labuan, Henna Hassan, 36, yang sepatutnya berlangsung pada Disember depan dibatalkan.

Katanya, perbezaan ideologi, budaya dan bahasa antara faktor menyebabkan perhubungan mereka semakin renggang yang mula disedari hanya selepas dua bulan menjalin pertunangan pada 25 Mei lalu.

"Saya terpaksa memutuskan pertunangan walaupun majlis perkahwinan dirancang pada hujung tahun ini. Kami bertunang hanya selepas dua bulan berkenalan dan hubungan mula bermasalah sejak itu. Mungkin kerana perkenalan kami terlalu singkat.

Bawa haluan masing-masing.

"Sekarang kami jarang berhubung dan dia pun seperti tidak lagi berminat untuk meneruskan perhubungan ini. Saya sendiri cuma sedar banyak perbezaan antara kami selepas dua bulan bertunang.

Tumpuan saya sekarang adalah anak-anak dan kumpulan Search yang kini tampil dengan album baharu. Lagipun sebelum ini saya sudah menduda lima tahun, jadi tiada masalah hidup solo.

"Ya, saya akui kecewa sedikit tetapi daripada menyesal di kemudian hari, lebih baik kami memilih haluan sendiri dari awal lagi " katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album ke-12 Search, Katharsis, di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Sebelum ini pada Jun lalu sebuah akhbar mendedahkan Nasir bertunang dengan seorang ibu tunggal yang juga penyanyi dari Sabah sekali gus mendedahkan dirinya bercerai dengan pelakon, Suhaina Yahya sejak lima tahun lalu.

Jumpa keluarga ikut adat.

Menerusi perkahwinan mereka, pasangan terbabit dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Najmi Ratna Anati, 26, dan Isabella Ratna Dewi, 18.

Manakala Henna Hassan yang juga penyanyi sebuah kumpulan pula difahamkan berstatus ibu tunggal anak satu yang kini berusia belasan tahun.

Sementara itu, Nasir memaklumkan akan berjumpa keluarga Henna itu untuk memutuskan pertunangan mereka mengikut adat.

"Setakat ini cuma anak-anak saya dan kawan-kawan dalam Search saja yang tahu perkara ini (batal kahwin). Keluarga kami juga belum diberitahu tetapi saya akan jumpa pihak mereka tidak lama lagi," katanya.