Musim cinta akhirnya bersemi, mengikat dua hati antara bintang program realiti Akademi Fantasia (AF) 2014, Nina Nadira dengan arkitek kacak, Ahmad Farhan Rusman.

Pasangan sama padan sama cantik ini masing masing berusia 25 tahun ini dinikahkan oleh bapa Nina, Naharuddin Bin Nordin.

Sepuluh dulang berbalas lapan.

Momen bersejarah itu disaksikan lebih 100 orang tetamu dalam satu majlis cukup indah diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam.

Pihak sebelah Nina menyerahkan 10 dulang hantaran berbalas lapan daripada pihak pengantin lelaki. Farhan menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 kepada Nina.

Wang hantaran bagaimanapun tidak didedahkan jumlahnya.

Sah dengan dua kali lafaz.

Dengan dua kali lafaz jam 11:30 pagi Sabtu, Nina sah menjadi isteri kepada Ahmad Farhan.

"Alhamdulillah fasa baru untuk saya dan suami kini bermula dengan termeterainya ikatan pernikahan ini.

"Semoga permulaan kehidupan berdua kami akan diberkati dan dipermudahkan. Insya-Allah," tutur Nina sejurus selesai akad nikah.

Majlis resepsi di sebelah malam.

Pada malam berikutnya, mereka diraikan dalam majlis resepsi juga di Hotel Concorde, di Shah Alam.

Majlis bertandang akan diadakan di Alor Setar, Kedah, pada 24 Disember depan

Nina dan suami, yang juga seorang arkitek, melangsungkan pertunangan pada 25 Mac lalu.

Mereka bertemu ketika masing-masing menuntut di Melbourne, Australia, tahun lalu.

"Sekembalinya dari Melbourne sama-sama selepas tamat pengajian, kami nekad memutuskan untuk membawa hubungan ini ke tahap lebih serius," kata Nina.

Bulan madu di Phuket.

Mengenai suami, Nina menyifatkan Farhan sebagai lelaki yang amat bertanggungjawab.

"Kami mempunyai tarikan yang bertentangan.

"Saya berjiwa seni dan dia pula lebih mementingkan pemikiran logik. Mungkin perkara itulah yang melengkapi diri kami," katanya yang menuntut dalam bidang seni drama di Universiti Deakin, Melbourne.

Pasangan ini merancang untuk berbulan madu ke Phuket hujung tahun ini. Mereka juga tak menolak rezeki untuk mendapat cahaya mata dalam masa terdekat.