KAW
Noraniza Idris Pertama Kali Terbit Album Aidilfitri Sambil Beramal
Berpengalaman tiga dekad dalam industri muzik tempatan, penyanyi popular, Noraniza Idris, masih aktif menyanyi dan memperjuangkan genre irama Malaysia. Malah, apa yang membanggakan dia tidak pernah putus asa menghasilkan lagu baru untuk peminat dan sebagai koleksi peribadi.
Sempena menyambut Aidilfitri kali ini, Noraniza tampil dengan album baru berjudul Ria Aidilfitri. Ia mengandungi lapan lagu baru dan empat lagu lama diberi nafas baru yang dinyanyikan Noraniza bersama Ihab Ismail, Fee Haiqal, Fadzlee Sufri, Dalili Amerda manakala lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya.
Memberi kelainan, Noraniza turut menonjolkan bakat anak bongsunya, Fee Haiqal dan Fadzlee Sufri yang juga anak suaminya dari Singapura. 

Album ini dianggap unik kerana mengandungi lapan lagu baru dan empat lagu lama diberi nafas baru.
Bagi Noraniza, album berkonsep sketsa pendek di dalam sebuah album sudah lama tidak diterbitkan. Ia dianggap istimewa padanya kerana pertama kali menerbitkan sebuah album berkonsep hari raya sepenuhnya meskipun membabitkan pelbagai penyanyi lain.
Album ini dianggap sangat unik dan tersendiri apabila peminat bukan hanya dapat mendengar lagu-lagu baru tetapi menyimpan koleksi lagu lama Aidilfitri sebelum ini dalam sebuah album. Dalam pada itu, Noraniza bersama artis terbabit bersetuju menjadikan projek album ini sebagai tujuan berhibur sambil beramal.

Sebahagian royalti album ini disumbangkan kepada dua penerima bertujuan menderma.
“Kami turut bersetuju untuk sedekahkan sebahagian royalti jualan senaskah cakera padat album ini kepada keluarga Dalili Amerda iaitu artis kami yang juga salah seorang peserta Ceria Popstar yang kini sedang mengumpul dana membiayai perubatan ayahnya yang mengalami kanser darah tahap empat. Begitu juga kepada salah seorang kumpulan promosi NIPVMania, Hazirah Yusof, yang kini menghadapi dugaan kerosakan saraf mata menyebabkan buta seumur hidup," katanya dalam satu kenyataan media.
Album ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis undangan, Mimi Fly (One Nation Emcee), L’zzay Affandy, Royce Sa’ayan, Razis Ismail dan Azmir Arif. Ia diterbitkan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd yang sudah berada di pasaran sejak 25 Jun lalu.
Must-Watch Video