Terkenal dengan tagline Jangan Mengata, usahawan selebriti Nur Sajat Kamarul Zaman bakal bergelar tauke filem tidak lama lagi.
Perkara itu diberitahu si cantik manis Sajat kepada Rojak Daily Kaw! kala bertemu pada sambutan hari lahirnya baru-baru ini.
Kata Sajat, perancangan itu sedang dilakukan sebagai cabang baharu dirinya sebagai ahli perniagaan.
"Sajat memang suka dengan dunia seni seperti berlakon jadi rasanya tidak salah untuk mencuba bidang baharu.
"Produksi filem dan drama juga adalah cabang perniagaan yang menarik untuk diceburi," katanya yang mesra menjawab soalan.
Beliau berkata, apa pun pelbagai sudut akan dikaji kerana bukan mudah untuk membahagikan masa antara produk kecantikan dan bidang penerbitan.
Sajat turut mengakui dirinya disunting oleh seorang produser untuk berlakon sebagai watak utama dalam sebuah filem.
"Tawaran itu datang beberapa hari lalu dan saya sangat terharu. Kalau ikut hati memang mahu terus setuju.
"Saya perlu tengok jadual dahulu. Banyak urusan perniagaan yang perlu diselesaikan dan perhatian," katanya.
Akui enggan tamak, Sajat berkata penting untuk membuat perancangan yang betul bagi memastikan semuanya bergerak seiring.
"Syukur perniagaan saya makin berkembang dan berharap semua terus menyokong dan sama-sama mencari rezeki.
"Kalau berlakon pun saya kena teliti sebab selalunya memakan masa berhari-hari," katanya.
Sambutan hari lahir ke-31 Sajat disambut meriah bertemakan Bollywood termasuk dengan kehadiran artis seperti Fasha Sandha, Ifa Raziah, Datuk Rafiena dan rakan niaga Sajat.