Tanggal 22 Mac 1929, merupakan tarikh kelahiran seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan bersempena sambutan kelahiran P Ramlee atau nama sebenarnya, Ramlee Puteh yang ke-88, Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang akan mengadakan pelbagai acara menarik bagi mengenang jasa beliau.

Presiden, Tan Sri Mohd Yusof Latiff berkata, selain mengadakan majlis doa selamat dan tahlil yang diadakan pada setiap tahun pihaknya turut mengadakan acara bersama lebih 100 ahli Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang dalam satu majlis makan malam di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung malam tadi.

Mohd Yusof bergambar kenangan ketika zaman muda bersama P Ramlee. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Beliau berkata, pihaknya bersama Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) akan memberikan satu penganugerahan khas kepada sebuah universiti tempatan iaitu anugerah 'KERUSI P RAMLEE' kepada seorang tokoh pendidik bergelar profesor. Katanya, buat masa ini pihaknya masih lagi menunggu keputusan badan induk universiti berkenaan untuk merealisasikan impian PEMENANG mengadakan majlis itu dan penganugerahan itu turut mendapat sokongan padu Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang.

"Walaupun P Ramlee sudah meninggalkan kita semua 44 tahun yang lalu tetapi karya seni seperti lagu dan filem arahan serta lakonan beliau terus kekal dihati kita semua tidak kira lapisan umur dan sebagainya," katanya.

Gambar lama mengenai P Ramlee menjadi antara kenangan Mohd Yusof terhadap rakannya itu. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Mohd Yusof berkata, Tan Sri P Ramlee bukan sahaja seorang seniman agung negara tetapi beliau juga seorang tokoh perpaduan kebangsaan yang berjaya menghubungkan pelbagai lapisan bangsa termasuk Melayu, Cina dan India dan lain-lain. Bersempena sambutan kelahirannya, PEMENANG ingin mengangkat dan menganugerahkan Tan Sri P Ramlee sebagai Tokoh Perpaduan Antarabangsa agar ia dapat dikenang sampai bila-bila oleh semua lapisan masyarakat.

"PEMENANG juga berhasrat membuka sebuah galeri khas di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee yang merupakan sekolah lama seniman agung negara tidak lama lagi dan satu pembincangan dengan Jabatan Pelajaran Negeri sudahpun dilakukan. Insha Allah segala apa yang direncanakan akan menjadi kenyataan," katanya.