Kumpulan Padi yang cukup terkenal di Indonesia, Malaysia serta Singapura ini kini kembali dengan arah tuju baru dengan sesuatu yang lebih menyegarkan.

Kini menggunakan nama Padi Reborn, mereka kembali aktif setelah sekian lama menyepi dengan ahli kumpulan yang masih sama iaitu Piyu (Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum) dan pastinya mahu menghiburkan kembali peminat-peminat mereka di Malaysia.

Janjikan persembahan hebat.

Sesuai dengan nama yang dilahirkan semula, buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Padi sejak tahun 1997 kumpulan tersebut akan mengadakan konsert perdana mereka, Padi Reborn Exclusive Live In KL yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2018.

Bukanlah sesuatu yang baru buat mereka untuk mengadakan konsert di pentas, tetapi berdiri kembali di atas nama Padi Reborn, mereka pastinya sudah cukup matang untuk memberikan sesuatu yang hebat kepada peminat-peminat mereka di Malaysia.

Persembahkan lagu-lagu hit.

Deretan hit klasik seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti akan diperdengarkan. Tidak sekadar itu, Padi Reborn menjanjikan sesuatu yang lebih luar biasa buat peminat-peminat kumpulan Padi.

Buat peminat yang tidak jemu menyokong Padi.

"Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan. Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat peminat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi mendiamkan diri dan kini kembali. Kami berharap peminat-peminat Padi di Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi," ujar Piyu.

Bawa persembahan ke Malaysia.

Dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd, Pengarah Urusan syarikat tersebut, Iqbal, lebih berbesar hati kerana lamarannya untuk membawa Padi Reborn masuk ke Malaysia menerima kata sepakat yang baik daripada kumpulan tersebut.

Menurut Iqbal, sesuai dengan rangka promosi semula Padi Reborn sendiri di Indonesia, beliau mengambil kesempatan dan berasa adalah amat sesuai dan 'cantik' sekiranya Padi Reborn turut singgah beraksi di Malaysia.

Pitahati akan membuka konsert.

"Kami amat maklum sejak Padi Reborn kembali aktif sekitar Februari lalu, adalah sesuatu yang menarik sekiranya kumpulan ini dapat beraksi di Malaysia.

"Selain popular dalam industri muzik Indonesia, saya percaya Padi Reborn mempunyai peminat Padi yang setia dan terlalu merindukan aksi pentas secara langsung mereka di sini," ujar Iqbal penuh teruja.

Sementara itu, kumpulan Pitahati akan menjadi band undangan yang pastinya bakal memberikan sebuah persembahan tidak kurang hebatnya.

Tiket sudah mula dijual.

Mengaku membesar bersama karya Padi, Pitahati yang masih ligat mempromosi karya terbaharu mereka, Selamat Datang Ke Panggung Suara memberitahu adalah satu penghormatan apabila diberi peluang menjadi band pembuka Padi Reborn yang sudah hampir 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Padi Reborn Exclusive Live In KL di KL Live Kuala Lumpur pada 30 Jun depan sudah mula dijual dengan harga early bird RM149 atau RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet and greet pula bagi early bird (RM249) atau RM290 untuk standard.

Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.