Nasib sebagai seorang artis tidak selalunya indah seperti dijangka. Bagaikan air ada pasang surut begitu juga nasib penyanyi popular zaman 80-an, Ben Nathan yang didakwa kelihatan seperti seorang pengemis jalanan.

Menerusi satu rakaman video dikongsi pengguna di Facebook, penampilan penyanyi lagu popular "Stanza Sepi Sekeping Hati" ini seolah tidak terurus sebelum menerima 'angpow' yang diberikan padanya. Individu tersebut yang dipercayai adalah penyanyi terkenal, Ben Nathan memberitahu dia masih aktif menyanyi dan baru selesai membuat persembahan di Pulau Pinang dan membuat rakaman lagu terbaru di Jakarta, Indonesia.



Rakaman video berdurasi 34 saat itu menarik perhatian ramai pengguna di media sosial termasuk peminatnya. Dalam komen di status itu, ramai peminat bersimpati dengan nasib penyanyi itu. Malah, ada peminat mendakwa Ben sudah tidak siuman dan sering muncul di sekitar Brickfields dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Peminat juga menyatakan pandangan agar nasib Ben dibantu persatuan hiburan.



Ben pernah mempunyai tujuh album sebelum ini bermula Stanza Sepi Sekeping Hati pada tahun 1986 sehingga album terakhirnya, Ben Nathan No.1 pada tahun 2004. Lagunya, "Ilusi Satu Penantian" pernah layak ke peringkat akhir program Muzik-Muzik pada tahun 1988.