KAW
Peminat Tegar Drama Coffee Prince Bantah Fattah Jadi Hero
Sama ada Fattah Amin, 27, akan dipilih untuk menerajui remake drama Coffee Prince dalam versi Bahasa Melayu yang akan diarahkan Michael Ang atau pengarah itu terpaksa ‘tunduk’ kepada bantahan peminat tegar drama itu yang tidak mahu Fattah pegang watak utamanya, kita tunggu apakah keputusannya nanti.
Apapun tanggapan peminat terhadapnya sehingga menggelarnya ‘pelakon kayu', Fattah tidak berkecil hati dan sebagai pelakon dia sedia untuk menggalas setiap watak yang diberikan kepadanya.

Berkenaan isu bantahan itu, katanya kepada Rojak Daily Kaw! dia tak tahu pun mengenainya kerana menjayakan satu program di Hutan Belum yang judulnya terpaksa dirahsiakan dulu.
“Saya baru balik dari Hutan Belum kelmarin dan saya sebenarnya tidak tahu hujung pangkal kerana berada dalam hutan yang terpisah dari sistem perhubungan.

“Sampai saja di Kuala Lumpur, saya dimaklumkan pemilihan saya sebagai pelakon utama Coffee Prince versi remake dalam bahasa Melayu mendapat bantahan dan kritikan netizen juga pengikut setia drama itu.
“Sebenarnya saya baru nak berjumpa produser dan pengarah untuk membincangkan hal ini. Bahkan pengesahan secara hitam putih untuk terbabit dalam produksi itu juga akan diputuskan pada pertemuan itu nanti,” katanya.

Ujar Fattah lagi, Michael Ang ada bercakap mengenai rancangannya untuk menghasilkan remake drama popular Korea itu dan mahukannya sebagai teraju utama namun ia sekadar perbualan secara lisan.
“Saya pun sangat selesa bekerja dengan Michael Ang yang banyak membantu menaikkan nama saya.
“Tak sangka pula, selepas banyak berlakon drama arahannya, baru kali ini perkara seperti ini berbangkit. Saya serahkan kepada pihak produser dan pengarah untuk membuat keputusan.

“Jika mereka merasakan saya layak memegang watak utama dan tidak hirau dengan bantahan serta kritikan peminat tegar drama Coffee Prince, saya seperti biasa akan menggalas tugas yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.
Coffee Prince adalah siri drama yang cukup popular di Korea sekitar 2007 yang diadaptasi dari karya novel berjudul sama, arahan Lee Yoon Jung dan dibintangi artis kumpulan hip hop yang tampan dan bersusuk tinggi lampai.
Must-Watch Video