Dengan sekali lafaz, penyanyi Yuna sah bergelar isteri kepada pengarah video, Adam Sinclair di majlis pernikahan yang berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, jam 7 petang Jumaat.

Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu selamat diijab kabul dengan Adam atau nama penuhnya, Adam Yousof Mohamed Sinclair, 33, berwalikan ayahnya, Datuk Mat Zara'ai Alias.

Pengurusan Yuna memaklumkan, pasangan itu dinikahkan Ustaz Azmi Noh dari Majlis Agama Bentong, Pahang pada majlis yang dihadiri 300 jemputan termasuk rakan mempelai dari AS.

Pernikahan berwalikan bapa Yuna.

Pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran manakala Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai, 31, memberi balasan sebanyak sembilan dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.

"Kami dengan rendah diri mengumumkan majlis pernikahan antara Adam Yousof Mohamed Sinclair dan Yunalis Mat Zara'ai pada 26 Januari di Puncak Rimba, Bentong Pahang.

"Majlis pernikahan itu selamat disempurnakan pada jam 7 petang semalam.

Bertemakan alam semula jadi.

"Kedua-dua mempelai juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada semua pihak," katanya dalam kenyataan media.

Menerusi gambar yang dikongsi, majlis pernikahan itu bertemakan dalam taman dengan berlatarbelakangkan alam semula jadi.

Pengantin jelas berseri mengenakan persalinan serba putih sedondon yang menyerlahkan aura raja sehari duduk di pelamin indah.

Majlis resepsi di PICC Ahad ini.

Sementara itu, Yuna dan Adam dijadualkan mengadakan sidang media khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang ini, disusuli majlis resepsi di lokasi sama pada Ahad ini.

Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush itu berkenalan dengan suaminya yang juga adik pelakon Ashraf Sinclair, ketika menjayakan sebuah iklan pada awal 2013.

Hubungan mereka terus bertaut erat dua tahun kemudian.

Selepas itu, keluarga Adam merisik Yuna pada 27 Mac, seterusnya mereka menjalin pertunangan 5 Ogos lalu.