Kaw

"Persembahan Kucar Kacir Dan Baki Bayaran Belum Dijelaskan" - Jaclyn Victor

Alexander Hadreez Jr
14/02/2017
07:10 MYT
Sponsor Banner
"Persembahan Kucar Kacir Dan Baki Bayaran Belum Dijelaskan" - Jaclyn Victor
Timbul perasaan simpati sebaik saja mendengar keluhan penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor mengenai nasibnya selepas menjayakan Konsert High Note 2016 yang berlangsung di Istana Budaya, November lalu.
Sudahlah persembahan malam itu kucar-kacir dan berlangsung dalam keadaan yang tidak bersedia ekoran kesilapan penganjur, kini hasil kerjanya bagai sia-sia apabila baki bayaran masih belum dijelaskan sehingga ke hari ini.
Disebabkan apa yang berlaku itu, Jaclyn atau Jac mengaku trauma kerana sepanjang bergelar anak seni, pengalaman ketika menjayakan Konsert High Note 2016 adalah paling pahit yang pernah dilaluinya.
Justeru apabila mendapat tahu yang seorang lagi rakan artis yang menjayakan konsert itu, Ziana Zain melahirkan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap penganjur konsert berkenaan, DME Entertaintment, Segitiga Asia dan CMPagro atas alasan yang serupa, Jac menyokong penuh keputusan Ziana itu.
Tiga penyanyi yang terlibat dengan Konsert High Note: Azlan, Ziana Zain dan Jac sendiri. (Kredit Gambar: Instagram Jaclyn Victor @jaclyn_victor)
Malah tegas penyanyi berusia 38 tahun ini, dia juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.
“Sebaik saja konsert yang berlangsung selama tiga malam itu tamat, saya trauma. Seperti Kak Ziana, saya turut dibayar separuh saja manakala bakinya masih gagal dijelaskan sehingga ke hari ini.
“Saya diberitahu, Kak Ziana akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur berkenaan.
“Saya akan menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu. Jika itu keputusannya, saya menyokong tindakannya itu dan saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan," Jaclyn kepada Rojak Daily Kaw! ketika ditemui pada sidang media Konsert Muzik4Humanity di Restoran Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya.
Tambah si pelantun lagu Gemilang ini, usaha untuk mendapatkan penganjur menemui jalan buntu kerana sehingga ke hari ini bayang mereka langsung tidak kelihatan.
“Kami hanya berurusan menerusi wakil mereka saja tetapi itupun tiada apa-apa berita mengenainya,” luahnya dalam nada kecewa.
Tegas bekas juara Malaysian Idol musim pertama ini, kejadian berkenaan mengajar dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang serta lebih teliti dalam urusan pembayaran.
“Perkara yang berlaku ini bukan saja menjadi satu pengajaran buat saya tetapi juga buat golongan artis secara keseluruhannya supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dalam perkara membabitkan bayaran.
Bergambar ketika mempromosikan Konsert High Note. (Kredit Gambar: Instagram Jaclyn Victor @jaclyn_victor)
"Bukanlah saya hendak kata semua penganjur tidak boleh dipercayai, tetapi biarlah urusan itu dibuat lebih teliti dan direkodkan," tegas ibu kepada Jonah Joshiah Rivera ini.
Selain Ziana dan Jaclyn, seorang lagi penyanyi lagu nada tinggi yang turut menjayakan konsert terbabit ialah Azlan Typewriter.
Selepas lagu Seindah Mimpi, Jac berkata dia juga bakal muncul dengan sebuah single baharu. Tidak berseorangan sebaliknya dia akan bergandingan dengan sebuah kumpulan popular.
“Lagu sudah pun siap dirakamkan dan ia dicipta oleh kumpulan terbabit manakala liriknya adalah hasil tulisan bersama. Dengan kumpulan mana? Itu saya terpaksa rahsiakan terlebih dulu. Mereka memang popular cuma sudah lama tidak nampak mereka beraksi.
Jac bakal kembali dengan single terbaharu. (Kredit Gambar: Instagram Jaclyn Victor @jaclyn_victor)
“Apa yang boleh saya katakan, muzik lagu itu sedikit berbeza dengan apa yang pernah saya nyanyikan sebelum ini tetapi ia tetap catchy,” ujarnya separuh berahsia.
Mengulas pembabitannya dalam konsert berunsur kebajikan itu, Jac berkata dia cukup teruja kerana berpeluang bergandingan dengan mereka yang cukup berpengalaman dalam bidang seni.
Konsert anjuran Dagang NeXchange Berhad (DNex) itu bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang negara mereka mengalami konflik.
Selain Jac, konsert itu turut dijayakan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Hattan.
“Saya akan menyampaikan beberapa buah lagu termasuk lagu yang bersesuaian dengan konsert berunsur kemanusiaan seperti itu iaitu Wajah dan juga You Raise Me Up,” katanya.
Konsert selama dua jam setengah itu akan diadakan selama dua malam berturut-turut iaitu pada 17 dan 18 Mac depan. Tiket berharga RM150, RM250, RM280, RM380 dan RM450 boleh didapati di laman web www.ilasasotickets.com dan juga kaunter Box Office yang hanya akan dijual mulai 6 Mac depan.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024