KAW
Protégé Akim, Elica, Juara Mentor Milenia 2017
Ahad lalu, Angelica Paujin (Elica) dari Sabah dan merupakan protege kepada Akim telah dinobatkan sebagai juara Mentor Milenia 2017, sekaligus membawa pulang wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan telefon bimbit, berserta pakej percutian ke London.

Elica berjaya menewaskan tiga protégé lain, dimana naib juara disandang oleh protégé Hazama iaitu Muhammad Saiful Naim Muhd Noor (Usop), dan tempat ketiga disandang Mohamad Rozaimi Rosli (Along), protégé kepada Tomok. Mereka masing-masing telah memenangi RM50,000 dan RM20,000 berserta sebuah trofi.

Tempat keempat pula jatuh kepada Nur Syaheera Abd Aziz (Syeera), protégé kepada mentor Black yang memenangi wang tunai berjumlah RM10,000. Selain sebagai juara, Elica turut memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 setelah dipilih sepagai “Protégé Pilihan Terbaik Neffos”.

Konsert akhir menyaksikan kemampuan vokal protégé diuji dengan dua persembahan iaitu secara solo dan duet bersama penyanyi jemputan. Terdahulu, pertarungan pentas akhir telah dimulakan dengan persembahan duet oleh Elica dan Hael, yang membawa lagu “Ceritera Cinta” (nyanyian asal Jaclyn Victor & Rio Fabrian).

Menurut Datuk Hattan, juri tetap Mentor Milenia 2017, Elica mampu pergi jauh dalam industri seni sekiranya dia terus diberi didikan yang betul selepas program ini berakhir. Pada malam itu, Elica yang juga telah menyanyikan lagu “Samar Bayangan” (nyanyian asal Nicki Astria) untuk persembahan solo, turut dipuji oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud selaku juri jemputan.

Sementara itu, persembahan lagu berjudul “Malam” (nyanyian asal M. Nasir) oleh Usop bersama Salma pula dipuji kerana mempunyai sebuah formasi yang cantik dan padat. Sungguhpun Usop dipuji kerana berjaya mencuri hati para penonton, dia dinasihati oleh panel juri untuk memastikan persembahannya konsisten pada masa akan datang. Untuk persembahan solo, Usop telah menyampaikan lagu popular bertajuk “Bayang” (nyanyian asal Khai Bahar).

Protégé yang menduduki tempat ketiga iaitu Along telah menyanyikan lagu “Merisik Khabar” (nyanyian asal Sudirman) secara solo. Walaupun pernah dikritik sebagai kaku ketika menyanyi, namun Along berjaya mengatasi kritikan tersebut dengan membuktikan bahawa dia mampu menjiwai lagu itu dengan penuh perasaan. Untuk persembahan berduet pula, dia membawa lagu hit berjudul “Memori Berkasih” (nyanyian asal Siti Nordiana & Achik) bersama Siti Nordiana.

Suasana dihangatkan lagi oleh protégé Black iaitu Syeera yang tidak pernah takut untuk cuba melakukan persembahan di luar kotak. Dia telah menyanyikan lagu “Di Pintu Syurga” (nyanyian asal Dayang Nurfaizah) dengan gabungan muzik moden dan tradisional ketika berduet bersama Misha Omar. Bagi persembahan solo, Syeera telah menyampaikan lagu “Sekadar Di Pinggiran” (nyanyian asal Francesca Peters).

Tirai konsert akhir Mentor Milenia 2017 telah dibuka dengan persembahan istimewa oleh kumpulan popular Indonesia, Nidji, yang didatangkan khas dari Jakarta menerusi lagu “Biarlah” dan “Bila Bersamamu”.