Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
KAW

Raihan Antara 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia

Chempaka Nur Iman 27/04/2017 | 01:00 MYT
Sudah pasti rakyat Malaysia turut tumpeng berbangga dengan pencapaian kumpulan nasyid, Raihan, yang berada dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia.

Menariknya, bukan sekali dua kumpulan popular itu disenaraikan oleh Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat, sebaliknya mempertahankan kedudukan mereka selama Sembilan tahun berturut-turut.

Senarai berkenaan dilakukan menerusi hasil kajian tahunan pusat pengajian tinggi berkenaan dan dikeluarkan menerusi The Muslim 500: The World's Most Influential Muslims merangkumi pelbagai bidang sepanjang 2016.

Wakil Raihan, Che Amran, berkata pihaknya bersyukur apabila fenomena nasyid kontemporari yang tercetus sejak album pertama mereka pada 1997, Puji-Pujian masih meninggalkan impak kuat di seluruh dunia.

“Semua itu adalah impak Raihan selaku pencetus genre muzik baharu kontemporari Islam yang diterima global. Selepas itu banyak lagi kumpulan nasyid baharu ditubuhkan sama ada di dalam negara mahu pun luar.

“Bagi kami, hasil kajian universiti terbabit sangat bermakna apabila dapat membawa nama Malaysia di mata dunia. Pastinya kami bersyukur kepada Allah selain ingin berterima kasih kepada seluruh penyokong genre nasyid kontemporari,” katanya.

Raihan yang kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim diletakkan dalam kategori Seni dan Budaya mewakili Malaysia manakala penerima lain ialah Yusuf Islam mewakili United Kingdom dan Maher Zain (Sweden).

Nama kumpulan yang mempunyai ramai peminat di luar negara itu mula tersenarai sejak 2008 apabila berjaya mencetus genre muzik baharu Islam kontemporari yang akhirnya menjadi ikutan kepada penggiat nasyid di dunia.

Pada masa sama mereka juga adalah satu-satunya artis yang berjaya melengkapkan jelajah ke enam benua di seluruh dunia mengadakan persembahan ke seluruh Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Australia.

Selain Raihan, selebriti tempatan lain yang berada dalam senarai sama buat tahun kedua berturut-turut adalah Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Hamidun manakala artis antarabangsa membabitkan Aamir Khan serta Sami Yusuf.

Kami di Rojak Daily Kaw! ingin mengucapkan tahniah kepada Raihan, Datuk Siti Nurhaliza dan tidak ketinggalan Hafiz Hamidun di atas pencapaian ini.

#Pencapaian #Pencapaian