Skip to main content

Market Trends

Raja, Sentuhan Magis Hael Husaini Untuk Stacy

stacy-raja.jpg
Selepas kejayaan single ‘Cakap Ke Tangan’ Oktober tahun lalu, penyanyi Stacy kini kembali dengan buah tangan terbaru berjudul Raja.

Menurut Stacy, lagu tersebut merupakan hasil cipta serta diterbitkan oleh penyanyi dan komposer sedang meningkat naik, Hael Husaini kolaborasi bersama Ezra Kong.
Stacy kembali menyengat dengan Raja.
“Setelah mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta dan dikurniakan cahaya mata, saya nekad untuk kembali beraksi demi peminat-peminat yang rindukan buah tangan terbaharu daripada saya.

“Alhamdulillah, single comeback saya ‘Cakap Ke Tangan’ diterima baik oleh semua dan ia merupakan pemangkin untuk saya terus berkarya di dalam industri muzik tanah air.

“Masih mengekalkan genre dance-pop, saya mendapat sentuhan saudara Hael Husaini serta Ezra Kong dan mengharapkan ‘magis’ sepertimana lagu-lagu yang pernah mereka ciptakan.
Dikenali sebagai 'Dance Queen Malaysia'.
“Sejujurnya, single ini sepatutnya dikeluarkan lebih awal tetapi kerana kekangan masa serta jadual yang sangat padat kedua-dua belah pihak ianya tertangguh tetapi akhirnya berjaya disiapkan dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.” katanya.

Berbicara mengenai single tersebut, Stacy memberitahu lagu itu mengisahkan tentang seorang wanita yang menganggap kekasihnya seperti seorang raja.

“Single ini menceritakan tentang perasaan seorang wanita yang memartabatkan kekasihnya umpama ‘raja’ dan sanggup buat apa sahaja untuknya.
Berharap lagu diterima peminat.
“Akan tetapi, ‘raja’ yang bertakhta di hati saya tentulah suami saya dan saya pasti wanita-wanita di luar sana ada ‘raja’ mereka sendiri.

“Saya berharap agar lagu ini mendapat respon yang positif sebagaimana lagu-lagu saya yang terdahulu dan terima kasih di atas sokongan anda selama saya bergelar penyanyi,” ujarnya.

Lagu ‘Raja’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music bermula pada 11 Mei 2018.

Video lirik dan muzik lagu ‘Raja’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.
 
 

Must-Watch Video