Bagi penggemar filem Tamil, siapa tidak kenal dengan kehebatan Rajinikanth dalam setiap lakonannya termasuk aksi dalam filem Kabali ditayangkan pada tahun lalu. Malah, atas kehebatan dan populariti itu juga memberi idea kepada seorang peniaga dari Pulau Pinang untuk menarik perhatian pengunjung ke gerai makanannya.

Dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong asing, jika mahu mencari gerai Kabali pastinya ia merujuk pada Naina's Roti Bakar. Bertempat di No.12, Jalan Transfer Georgetown, Pulau Pinang, mural wajah selebriti terkenal yang lengkap memakai sut putih dan berkacamata hitam duduk sambil menikmati kopi panas dan roti bakar itu menambat hati ramai pengunjung.

Dua pengunjung duduk di meja berlatarbelakangkan mural Rajinikanth di Naina's Roti Bakar, Georgetown, Pulau Pinang. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Mural yang dilukis artis tempatan Azmi Hussain itu ditempah khas oleh pemilik, Naina Mohamed, 38, yang membelanjakan kos sebanyak RM900 sebagai usaha menarik kedatangan pengunjung setiap hari ke gerainya yang dibuka seawal jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Apa yang menarik perhatian, Naina's Roti Bakar popular dengan roti bakar, telur setengah masak, nasi lemak, roti canai, mee goreng, nasi goreng, maggi goreng dan roti benggali.

Naina's Roti Bakar sudah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan roti bakar terus kekal menggunakan arang untuk membakar roti selain mengekalkan konsep tradisional. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Bagi Naina yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan roti bakar terus kekal menggunakan arang untuk membakar roti selain mengekalkan konsep tradisional dan identiti Naina's Roti Bakar.

"Inspirasi meletakkan mural wajah Rajinikanth dibuat apabila filem berkenaan mendapat sambutan luar biasa dari penonton di seluruh dunia. Apa jua mengenai Kabali ada dimana-mana termasuk kereta dan pesawat AirAsia juga dan sebagai peminat saya juga turut teruja dan ingin abadikan kenangan terindah bersama Rajinikanth," katanya.