Kaw
"Ramai Pengikut di Media Sosial Tidak Bermakna Mereka Artis" - Datuk Sheila Majid
Penghibur popular, Datuk Sheila Majid berharap media tidak memberikan gelaran artis terhadap individu yang popular di laman sosial kerana boleh mengelirukan masyarakat.
Katanya, liputan yang diberikan pula harus bersandarkan kepada bakat seni atau hasil kerja mereka bukannya semata-mata disebabkan mempunyai ramai pengikut.
"Bagaimana mahu menggelarkan mereka artis atau selebriti sedangkan mereka tidak ada produk atau karya seni?" - Datuk Sheila Majid (Kredit Gambar: Studio H)
“Sebenarnya kadang kala kita sendiri tidak pasti adakah individu yang dicap sebagai Insta Famous itu boleh dianggap selebriti memandangkan hanya kelompok tertentu saja mengenali mereka.
“Tanpa produk, karya atau hasil seni rasanya mereka belum boleh dipanggil artis atau selebriti. Apa yang saya nampak, mereka yang popular di laman sosial tidak semestinya dikenali di luar atau bertahan lama.
Sheila berharap pihak media juga dapat membantu mendidik masyarakat (Kredit Gambar: Studio H)
“Pada saya, biarlah kita melabel seseorang itu sebagai artis berdasarkan bakat dan karya mereka, bukan populariti semata-mata. Bimbang orang salah faham konteks artis itu sendiri,” katanya.
Penyanyi yang sudah lebih tiga dekad berada dalam industri seni suara itu berharap media juga dapat membantu mendidik masyarakat dengan menapis siapa yang wajar dijadikan bahan berita.
"Banyak perbezaan antara artis yang mempunyai karya seni dan yang mereka yang hanya popular di media sosial" - Sheila (Kredit Gambar: Studio H)
“Sekarang saya tengok semua pun boleh diberikan publisiti dengan panggilan Artis media sosial. Mereka belum terbukti mempunyai hasil kerjaya seni dan dari situ sepatutnya media membuat tapisan.
“Banyak perbezaan antaranya kerana artis itu sendiri adalah orang berseni manakala mereka yang mempunyai pengikut ramai itu sekadar popular. Pastikan jika mahu cerita mereka dimasukkan dalam surat khabar bermakna mereka yang benar-benar layak dan mempunyai hasil seni,” katanya lagi.