KAW

Saban Tahun Siti Elizad Dan Keluarga Beraya Di Luar Negara

Mohamad Bakar 06/07/2017 | 01:00 MYT
Hampir saban tahun, Siti Elizad akan mengambil kesempatan Syawal yang tiba untuk bercuti. Sejak mendirikan rumah tangga, juara pertandingan Gempak Superstar itu hanya meraikannya di Kuala Lumpur memandangkan dia dan suami tidak mempunyai kampung halaman jauh seperti orang lain.

Suami tersayang, Shamsul Baharin Rahman berasal dari Subang Jaya, Selangor, manakala bapanya pula menetap di Ampang, Kuala Lumpur. Mereka pula menetap di Damansara. Justeru itu, mereka tidak perlu berebut atau ‘berperang’ menanti giliran beraya ke destinasi raya seperti pasangan lain.

Tak perlu 'berperang' di hari raya.
"Biasanya pada raya pertama kami akan melawat kubur arwah mama, selepas itu meraikannya di Kuala Lumpur sahaja. Lebih mudah begini, walaupun saya seronok melihat orang lain bersesak di lebuh raya pulang ke kampung masing-masing," katanya yang sudah tahun ketiga bergelar isteri.

Bagaimanapun bagi mengisi kekosongan sambutan Aidilfitri, sudah menjadi rutin keluarganya untuk pergi bercuti. Kebiasaannya destinasi pilihan mereka adalah Thailand.

“Selalunya malam raya lagi saya dan suami akan beraya di rumah keluarganya di Subang Jaya. Jadi pagi raya sudah boleh menziarahi pusara arwah ibu. Saya pun rapat dengan keluarga, almaklumlah anak perempuan tunggal dan selebihnya adik beradik lelaki. Tahun ini kami bercuti di Krabi, Thailand.

Percutian menjadi tradisi keluarga.
"Memang kebiasaannya saya dan suami akan ke Thailand kerana pergi menaiki motosikal berkuasa tinggi. Itulah waktu untuk kami berdua berehat selepas penat bekerja.

"Lain orang lain caranya menyambut Aidilfitri dan percutian sudah menjadi tradisi kami sekeluarga yang tidak mempunyai kampung halaman," katanya.

Selepas empat tahun pemergian ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh kerana penyakit parkinson, Elizad yang memikul tugas penting sebagai anak perempuan tunggal.

Sudah ada koleksi baju jenama sendiri.
“Kebiasaannya selama hayat arwah ibu, dia yang paling sibuk uruskan itu dan ini menjelang raya. Tapi ketika menjaga arwah ibu, saya bersyukur sempat belajar memasak dengannya. Jadi dapatlah buat apa yang patut untuk raya ini sebagai hidangan istimewa,” katanya.

Tentang baju raya, dia tidak perlu bersusah payah mencari baju raya kerana mempunyai koleksi sendiri. Elizad tahun ini hadir dengan koleksi baju rayanya sendiri bersama rakan kongsi, Shereen di bawah nama Nostalgia Syawal 1438 Elizad Sharifuddin X The Hashtag.

Suami banyak membantu.
“Raya tahun ini saya tak perlu bersusah payah usah nak beli baju raya kerana sudah ada koleksi sendiri. Kalau nak beli boleh semak instagram @hashtagsrihartamas. Sambil pakai boleh saya promosikan juga. Koleksi ini ada empat warna tapi mungkin hanya dua warna saya akan gayakan iaitu pada pagi serta petang raya.

“Suami pun senang saja bab menyediakan baju raya. Dia hanya mengikut dan menuruti apa yang saya tentukan. Malah suami juga sangat membantu saya membuat kerja rumah menjelang raya,” katanya.

Dia tak lama lagi akan muncul dengan drama My Darling Inspektor Daniel sebanyak 20 episod bersama aktor Aaron Aziz dan Elizabeth Tan.

Kredit Busana: Nostalgia Syawal 1438 Elizad Sharifuddin X The Hashtag. (Instagram: @hashtagsrihartamas)

#Kosong Kosong Dari Hati