Pelakon Saharul Ridzwan, 28, merakamkan single Buku Putih, lagu ciptaan Ajai dan lirik nukilannya sendiri bukan untuk ‘mencari makan’ kerana tahu suaranya tidaklah begitu bagus.

Dia cuba menyanyi untuk suka-suka saja dan jika tidak ‘menjadi’ dia tidak kecewa.

“Apabila Ajai pelawa saya untuk merakamkan lagu, saya terkejut juga tetapi okaylah daripada tidak mencubanya langsung. Saya memang suka menulis dan Ajai repair lirik itu agar jadi lebih ‘sedap’.

“Tahu suara saya tak bagus mana, saya nyanyi bahagian rap saja, yang lain Ajai menyanyikannya.

Tukar pihak pengurusan.

Sebenarnya, ada juga rappers dunia yang suara mereka tidak sehebat mana pun.

“Andai kata cubaan saya tidak menjadi, saya boleh tulis lirik saja, dapat juga royalti,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Beralih topik lain, Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim beritahu, kerjaya lakonannya kini diuruskan Awin iaitu isteri pelakon Izzue Islam.

“Saya tak bergaduh pun dengan pengurusan lama cuma saya rasa Shawn lebih sesuai menguruskan artis bujang tetapi saya sudah berkeluarga.

Di bawah pengurusan yang sama dengan Izzue Islam.

“Kerjasama dengan Awin berlaku tanpa dirancang apabila saya berlakon drama dengan Izzue, lalu saya minta tolong Awin uruskan jadual saya sekali dan dia tahu bila masa saya perlu ‘break’ untuk bersama anak dan isteri.

“Daripada situlah, saya terus minta dia uruskan kerjaya saya kerana meskipun sudah enam tahun berlakon dan kenal orang industri tetapi lagi mudah jika ada yang membantu,” katanya.

Tidak mahu lagi terlepas momen indah bersama keluarga.

Ujar Saharul lagi, pernah sekali dia berada di lokasi luar ibu kota selama 10 hari, balik saja ke rumah, anaknya, Muhammad Luth Ali, yang kini berusia empat bulan sudah meniarap.

“Sayangnya, saya terlepas momen indah itu. Kini, kalau keadaan membenarkan, saya bawa anak dan isteri ke lokasi sekali.

“Bagaimanapun, tak bolehlah berkepit dengan anak 24 jam sehari, rezeki kena cari juga. Jadi saya selesa dengan jadual kerja diatur Awin yang memahami status saya kerana dia juga sudah berkahwin,” katanya.

Tidak mahu jadual padat demi keluarga.

Dalam pada itu, Saharul menafikan tawaran berlakon kian kurang.

“Saya ada saja berlakon cuma kadang drama atau telefilem itu lambat disiarkan. Bagaimanapun, sekarang saya mengelak jadual kerja yang padat kerana sudah berkeluarga,” katanya yang turut mendapat undangan mengacara majlis.