Sensasi termometer industri hiburan pada tahun 2018 nampaknya dimulakan dengan Datuk Farid Kamil apabila mencipta adegan di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara, jam 1.20 tengah hari Khamis lalu.

Dia ditahan kerana menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam. Farid berkelakuan tidak senonoh, menyerang serta mencederakan anggota polis itu yang sedang menjalankan tugasnya.

Laporan dibuat sendiri oleh seorang anggota polis yang bertugas di kaunter trafik itu.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas (anggota polis) yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Dia juga turut menendang kaki orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika ini siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis.

"Saya mengesahkan kejadian berkenaan. Ketika ini pelakon berusia 37 tahun terbabit masih berada di balai berkenaan. Kita tahan beliau untuk siasatan lanjut,”

"Pihak polis juga sudah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti sama ada pelakon berkenaan berada di bawah pengaruh dadah atau tidak," katanya.

Terbaru, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ujian air kencing mendapati pelakon lelaki berkenaan positif dadah jenis ganja.

"Saya mengesahkan pelakon berkenaan positif dadah jenis ganja,” katanya.

Mahkamah juga sudah mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia kacak itu hingga Isnin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, isteri Farid, Datin Diana Danielle menafikan dakwaan suaminya yang dikatakan murung kerana dihalang berjumpa dua anak mereka Muhammad dan Nur Aurora.

Diana berkata, kerana bekerja, dia meninggalkan anaknya di bawah jagaan ibu, Norsiah Ramli.

"Rumah ibu hanya setingkat bawah rumah kami dan masih di sekitar kondominium yang sama. Dia boleh berjumpa anak-anak dengan mudah kalau dia mahu," katanya.

Diana juga menegaskan suaminya, Datuk Farid Kamil tidak pernah pun bertindak mengasarinya. Sebagai isteri, dia akan sentiasa menyokong lelaki itu dalam apa juga situasi dilalui.

Katanya lagi, mereka juga sedang berusaha memperbaiki apa yang perlu, pada masa sama menguatkan lagi ikatan yang sudah terjalin.

"Dalam menjelaskan isu yang timbul membabitkan kami sekeluarga, saya memerlukan sedikit masa sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung hal ini.

"Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang memberikan sokongan tanpa henti kepada saya dan suami.

"Kedua, suami saya tidak pernah walaupun sekali mengasari. Saya akan menyokongnya dan kami akan berusaha memperbaiki apa yang perlu dan menguatkan lagi ikatan sedia ada.

"Pada ketika ini, saya memilih tidak memberi sebarang kenyataan untuk tidak mengeruhkan lagi kemelut sedia ada," katanya yang berkongsi luahan itu di Instagram baru-baru ini.

Dalam pada itu, kontroversi penahanan Farid tambah 'panas' apabila rakaman video Bigo Live pelakon dan pengarah itu tersebar di laman sosial.

Klip video itu dipercayai rakaman siaran langsung dilakukan Farid bersama seorang pelakon lelaki beberapa jam sebelum insiden Farid bertindak kasar di balai polis.

Dalam rakaman itu, Farid antara lain mengulas mengenai projek lakonan drama dan filem terbarunya.

Bagaimanapun, netizen menyifatkan aksi Farid begitu pelik sampai ada yang mendakwa dia seakan sedang khayal ketika siaran langsung itu dilakukan.