Desas desus rumah tangga Serina Redzuawan dengan Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar yang dikatakan goyah sejak tahun lalu terjawab dengan luahan bapanya sendiri, Datuk Chef Wan di laman Instagram hari ini.
Memang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul buat anaknya yang berkahwin dengan Gavin pada tahun 2010.
Chef Wan turut mengesahkan yang Serina turut memfailkan perceraian dan akan berjuang habis habisan menuntut hak beliau yang sewajarnya.
"Serina memang melalui tempoh perkahwinan enam tahun setengah yang tidak membahagiakan.
"Alhamdulillah juga selepas menasihatkan Gavin beberapa kali mengenai kepentingan suami menjalankan tanggungjawabnya termasuk memberi wang saraan dan dia menolak nasihat itu, saya bersyukur yang Serina mengambil tindakan undang-undang untuk dirinya dan anak.
"Saya beritahu Gavin dont be 'a cheap fxxxxxx bxxxxxx'. Kasi kan, kau nak sangat kan. Kau ingat kita datang dari keluarga yang bangsat ke? Dengan bekas isteri saya pun diberi elaun RM3,000 sebulan untuk sara hidup dan sebuah apartmen tiga bilik. Dengan cucu saya sendiri you tahu betapa pemurahnya diri ini kepada mereka," kata Chef Wan.
Chef Wan sedar apa terjadi, beliau berharap Serina dan dua cucunya Tristen Tareef dan Isabella Saffiya akan terus kuat meneruskan hidup.
"Saya sejujurnya rasakan Serina berhak mendapat kehidupan yang lebih baik dan dia perlu gembira," katanya.
Sementara itu, Serina selama ini dilihat masih berdolak dalik mengenai rumah tangganya yang bagai telur di hujung tanduk.
Sebelum ini juga Serina pernah dikatakan berkunjung ke mahkamah syariah.
Tindakan Serina yang sudah lama tidak memuat naik foto mereka sekeluarga di laman sosial miliknya, sebaliknya lebih banyak berkongsi mengenai perniagaan yang diusahakan selain aktiviti seni, turut dikatakan menjadi petanda kepada perkahwinannya yang bagaikan tidak mampu diselamatkan lagi.