Selepas 25 tahun menceburi dunia perfileman dan drama, sutradara terkenal, Erma Fatima menyifatkan kemenangannya di Anugerah Skrin (ASK) 2017 baru-baru ini menerusi telefilem Pesan Dari Tuhan sebagai noktah untuk tidak lagi bertanding dalam mana-mana acara anugerah.
“Saya bukan nak bersara tapi nak stop bertanding. Selama 25 tahun berada dalam industri perfileman dan drama, saya sudah lima kali menang kategori Pengarah Terbaik di ASK. Jadi, saya fikir cukup sampai sini untuk bertanding.
"Saya bukan terus berhenti mengarah, tetapi nak perlahankan saja. Saya ingin memberi fokus kepada perniagaan dan francais Mak Cun. Dalam masa sama, saya ingin memberi laluan kepada orang lain untuk merasai kemenangan ini," katanya.
Bagaimanapun kakak kepada Umie Aida ini tidak menolak untuk mempertandingkan karya terbitan syarikat produksi miliknya Rumah Karya Cinta Sdn Bhd membabitkan hasil kerja pengarah dan pelakon lain.
"Kalau rindu nak direct, barulah sesekali saya buat come back. Syarikat saya tetap akan terbitkan drama, tetapi diarahkan pengarah lain. Jadi, saya tidak boleh menghalang untuk mereka bertanding, cuma keputusan ini hanya babit diri saya seorang," katanya.
Pada ASK 2017 yang berlangsung baru-baru ini, telefilem Pesan Dari Tuhan menang empat kategori dipertandingkan iaitu Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik dan Drama Terbaik. Selain itu, Remy Ishak dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama menerusi cerita berkenaan.
Siapa sangka telefilem berkenaan yang terperap dua tahun akhirnya membawa tuah kepadanya. Cerita itu tidak disiarkan atas sebab tertentu dan pada mulanya disimpan begitu saja.
Namun, hati pelakon yang terkenal dengan karakter Mak Cun ini tersentuh apabila Azhan Rani yang turut berlakon dalam Pesan Dari Tuhan memuat naik sedutan drama itu di Instagram hingga mengubah pendirian Erma.
"Lalu saya bawa naskhah cerita itu ke RTM dan ia akhirnya disiarkan menerusi TV2. Kejayaan ini saya hadiahkan kepada produksi yang berhempas-pulas selama dua minggu penggambaran dalam hujan. Pembikinan drama ini cukup tough dan tanpa komitmen tinggi daripada mereka, ia tidak mungkin menjadi realiti
“Malah saya mahu Azhan serta Ellie Suriaty dan Izreen Azminda menang sama kerana ketiga mereka sudah memberikan komitmen dan mutu lakonan yang hebat. Tapi tuah lebih kepada Remy," katanya.
Erma dalam pada itu bakal mengarah dan menerbitkan teater monolog berjudul Primadona lakonan bersama Fauziah Ahmad Daud tahun depan.
"Sebelum ini Kak Ogy ada terbabit dalam teater Mak Cun, tetapi kemunculannya sedikit saja. Jadi saya tak puas sangat.
"Menerusi Primadona, kami akan bermonolog. Ia sebuah karya yang lain dan memang dinantikan. Selain itu, saya juga merancang satu lagi teater bersamanya. Saya memang ingin kembalikan memori telefilem Pengantin Popular," katanya.