KAW
“Saya Bukan Suka Berfesyen Pun...Pakai Skaf Sebab Malas Nak Dandan Rambut” – Nabila Huda
Pelakon Nabila Huda menjawab kritikan netizen terhadap fesyen yang digayakannya pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2018, yang diadakan minggu lalu.
Nabila berkata, dia bukan seorang yang suka berfesyen dan mempunyai sebab mengapa memakai skaf ketika menghadiri acara tersebut.

“Saya seorang yang sederhana dan tidak suka berfesyen pun, saya pakai skaf sebab malas untuk menghias rambut.
“Lagi pun saya jarang pergi majlis fesyen kecuali atas jemputan rakan-rakan. Kalau ikutkan saya lebih suka duduk rumah sahaja,” katanya.

Tambah Nabila lagi, dia tidak terkesan dengan komen-komen negatif netizen, sebaliknya menganggap ia sebagai hiburan sahaja.
“Saya tidak tutup ruangan komen kerana seronok membaca komen mereka itu yang bagi saya, tiada kehidupan. Biasanya saya gelak-gelak sahaja bila baca komen mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai status kontroversi yang dimuat naik di Instagram mengenai ibu tirinya, Nourish, baru-baru ini, pelakon Dendam Aurora itu enggan memberikan komen.
Kata Nabila, dia tidak mahu membesarkan perkara berkenaan demi menjaga hati ramai pihak.
“Kalau boleh saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara itu. Cuma saya minta doakan sahaja yang baik-baik.

“Apa yang saya boleh cakap saya rindu ayah saya, dah tiga tahun sudah tak jumpa dia,” luahnya.
Nabila ditemui pada pelancaran drama KL Gengster Underworld, di restoran Suzie Wong, pada Rabu.
Pada Jun lalu, Nabila memuat naik status di InstaStory mendedahkan ibu tirinya itu sebagai punca hubungannya dengan ayahnya yang juga vokalis kumpulan Search, Amy, renggang sehingga kini.
Sumber: mStar Online
Must-Watch Video