Langkahnya dalam bidang seni bermula selepas dia menyertai pertandingan pencarian bakat baharu, Hero Remaja 2011/2012. Selepas itu, si pemilik nama Ben Amir ini mula mengatur langkah dengan membintangi drama. Walaupun sekadar memegang watak pembantu ketika itu, namun itu sudah cukup untuk jejaka ini mengutip pengalaman.

Tanpa diduga, drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot (SHMP) yang dibintanginya tahun lalu bukan sekadar mencetuskan fenomena tetapi turut membuat namanya meledak. Watak Dr Muslim yang dilakonkannya berjaya memikat hati penonton dan juga dalam kalangan penerbit.

(Kredit Gambar: Instagram Ben Amir @benamirr)

Disebabkan itu, tawaran lakonan mula menghujani dirinya. Namun, biarpun namanya semakin laris dan menjadi pilihan penerbit, itu tidak bermakna Ben atau nama penuhnya, Muhammad Amir Sabaruddin, mudah berkompromi dengan soal kualiti.

“Ada tawaran yang terpaksa saya tolak walaupun menawarkan watak hero. Saya hanya pilih watak yang mampu memberi nilai tambah terhadap kredibiliti sebagai pelakon.

“Selain itu, saya tengok dengan siapa saya akan berlakon. Sejujurnya, saya lebih suka bekerja dengan mereka yang ada pengalaman,” kerana secara tidak langsung saya boleh menimba ilmu dalam bidang lakonan.

(Kredit Gambar: Instagram Ben Amir @benamirr)

“Pun begitu, tidak bermakna saya tak boleh bekerja dengan orang baharu. Dengan mereka, ada juga ilmu yang boleh saya pelajari. Cuma kalau dengan orang lama, penghayatan mereka lebih bagus,”katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Air Mata Di Bumi Matador.

Drama yang menjalani penggambaran di Sepanyol itu menyaksikan Ben berganding dengan bakat baru, Putri Aishah.

Dibandingkan dengan pelakon Fattah Amin dan Saharul Ridzwan ternyata dari segi populariti, Ben agak ketinggalan di belakang. Tidakkah situasi itu menimbulkan rasa iri dalam dirinya?

“Bagi saya lambat atau cepat dikenali, itu bukanlah satu perkara yang saya fikirkan. Saya tidak kisah pun lambat popular kerana mereka terlebih dulu terjun ke bidang lakonan . Lagipun perkara ini terletak pada rezeki

“Walaupun belum popular, namun saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Memadailah kehadiran dalam industri seni mula disedari peminat. Selepas ini saya harus bekerja lebih keras,”janjinya dalam satu temubual bersama Rojakdaily Kaw!

(Kredit Gambar: Instagram Ben Amir @benamirr)

Semakin dikenali, bermakna ruang peribadi seseorang artis itu sedikit sebanyak akan dicerobohi. Memandangkan sebelum ini ada gosip yang mengatakan hati Ben sudah dimiliki, justeru soalan itu turut diajukan kepada tuan punya badan. Puas bermain tarik tali, akhirnya jejaka berusia 27 tahun ini mengaku sedang berkawan rapat dengan seseorang yang berasal dari Perak.

“Saya sudah setahun berkawan dengannya. Dia sangat memahami dan tidak cemburu. Soal rupa saya tak kisah kerana yang penting bagi saya, dia tidak cemburu dan memahami kerja saya.

“Dia bukan orang industri dan saya memang tak nak berkawan dengan orang industri. Ini kerana ia boleh mengganggu fokus saya,” dedahnya.

Ditanya apakah dia meletakkan sasaran usia untuk mendirikan rumah tangga, Ben mengharapkan jodohnya tiba dalam tempoh selewat-lewatnya tiga tahun lagi.

“Umur saya tahun ini 27 tahun. Kalau boleh, saya nak kahwin sebelum usia 30 tahun. Namun, bergantung kepada karier saya, kalau kerjaya saya mengizinkan, Insya-Allah saya akan kahwin terus. Bukan masanya lagi untuk saya berseronok.

“Kalau ada yang berkenan, kahwin saja,” katanya serius.

(Kredit Gambar: Instagram Ben Amir @benamirr)

Terdahulu, Ben ditemui pada majlis pelancaran produk minuman kesihatan gO-S atau Go Sihat yang diusahakan bersama rakan kongsi yang juga kenalannya, Datin Farrah Razali.

Bercerita mengenai produk berkenaan, dia memberitahu, ia adalah salah satu cara untuk dia mempromosikan gaya hidup sihat.

“Ketika saya menyertai pertandingan Hero Remaja, berat badan saya pernah mencecah angka lebih 90 kilogram. Situasi itu menyebabkan saya sukar bergerak dan cepat penat. Saya tak suka dengan keadaan itu.

“Pertemuan dengan sahabat lama saya, Datin Farrah yang kelihatan langsing walaupun baru melahirkan cahaya mata membuatkan saya tertarik untuk mengetahui rahsianya,”katanya.

Ben berkata, selepas dimaklumkan kebaikan produk berkenaan, dia pantas mencubanya.

“Bukan saja mahu menjadi duta tetapi saya mahu menjadi rakan niaga. Cuma tugas saya lebih kepada bahagian pemasaran, penjenamaan dan publisiti. Ini sesuai dengan kerjaya saya sebagai pelakon yang memberikan kelebihan untuk melakukan tugas itu,” katanya yang mengaku mengamalkan minuman kesihatan selama dua bulan sebelum mendapat keputusan positif.