Sensasi Youtube terbaru, Ismail Izzani yang semakin popular dengan lagu Sabar mengakui populariti dirinya kini mencanak naik. Perubahan ketara anak bongsu kepada bekas penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu mula kelihatan menerusi laman sosialnya seperti di Instagram contohnya. Lagu Sabar dendangannya itu di YouTube sudah ditonton lebih 3 juta orang.

Namun itu tidak menjadi lesen mudah bagi anak muda yang memilih bersekolah di rumah itu mendabik dada. Tiket bergelar anak kepada Datin Suliza Salam juga bukan alasan untuk dia terbang di awang-awangan. Apapun Rojak Daily Kaw! tumpang bangga dengan bakat baharu seperti Ismail ini.

Ismail tidak menumpang tuah nama mama.

Semakin meriah persada seni kebelakangan ini dengan penyanyi generasi baharu seperti Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Haqiem Rusli dan ramai lagilah. Ia perkembangan positif.

“Saya hanya mahu berkongsi bakat yang ada. Saya lihat menjadi anak Suliza Salam itu bersifat bonus. Saya tak gunakan hal itu untuk menaikkan nama. Tapi saya bersyukur niat saya mewarnai persada seni ini direstui keluarga termasuk Mama dan bapa.

Lagu Sabar di YouTube mendapat lebih tiga juta hit.

“Alhamdulillah sejak saya mula nyanyi lagu ‘cover’ lagi pengikut di laman sosial sudah meningkat. Pernah dalam sehari itu kenaikannya mendadak hingga 5,000 orang pengikut. Jumlah ‘likes’ pun mencanak naik. Sebelum keluar single lagi pun, ketika saya menghadiri acara, sudah ada yang menyedari saya sebagai penyanyi lagu ‘cover’,” kata jejaka berusia 17 tahun itu.

Menurut Ismail yang kini menaungi syarikat World Peace Entertainment, minat menyanyi mula berputik ketika di sekolah rendah lagi.

Bernaung di bawah syarikat World Peace Entertainment.

“Umur 12 tahun saya sudah mula menyanyi lagu nasyid di sekolah. Minat itu pun dipaksa oleh cikgu. Kemudian saya suka pula bermain alat muzik sambil menyanyi. Minat itu bercambah lama kelamaan.

“Saya buka YouTube tengok orang menyanyi macam best saja. Kenapa saya tak buat benda sama. Saya mula nyanyi lagu ‘cover’ sejak dua tahun lalu. Lagu kumpulan Innuendo, Belaian Jiwa antara lagu terawal yang saya nyanyikan ikut lenggok sendiri. Setakat ini sudah beratus lagu saya beri nafas baru,” katanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.