KAW

“Saya Rasa Lega Sangat Dapat Luahkan Pada Peminat” – Elyana

Alexander Hadreez Jr 28/11/2017 | 06:19 MYT
Tujuh tahun penyanyi Elyana menyimpan rahsia yang satu ini dan pada malam penyingkirannya sebagai peserta Gegar Vaganza Ahad lalu, ibarat bom yang meletup, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal memberi kejutan kepada penonton program itu apabila mengumumkan yang dia mengidap kanser Limfoma (kelenjar) tahap empat.

Siapa sangka wanita yang sentiasa kelihatan ceria dan aktif itu bijak menyembunyikan penderitaannya. Iyalah, melihat penampilan fizikal Elyana saban minggu langsung tidak menggambarkan yang dia sakit. Malah ketika sesi temubual berlangsung, penyanyi Tak Tercapai Akalmu ini cukup positif apabila memperkatakan penyakitnya itu.

Ada masa diburu ketakutan.
Bagaimanapun, itu hanyalah apa yang dipaparkan Elyana di depan khalayak kerana hakikatnya setiap malam dia diburu ketakutan dan kebimbangan.

“Penyakit kanser limfoma ini membuatkan saya rasa takut untuk tidur malam. Bimbang malam itu akan menjadi malam terakhir buat saya kerana kanser ini boleh menyebabkan jantung saya boleh berhenti daripada berdegup secara tiba-tiba.

Mengidap kanser sejak tujuh tahun lalu.
“Sudah beberapa kali perkara itu berlaku pada saya,” kata penyanyi berusia 30 ini kepada Rojak Daily Kaw!

Elyana ditemui semasa sidang media konsert GV4 yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut mengenai penyakit kanser yang dihidapi, Elyana berkata dia disahkan menghidap penyakit itu sejak tujuh tahun lalu iaitu selepas melahirkan cahaya mata tunggalnya, Cinta Sumaiyyah.

Reda dan positif.
“Ketika doktor memberitahu yang saya mengidap kanser Limfoma tahap dua waktu itu, saya tak tahu nak kata apa. apatah lagi waktu itu doktor meramalkan yang saya hanya ada tempoh setahun untuk hidup. Saya reda dengan berita itu kerana pada saya kanser sama sahaja dengan penyakit lain seperti diabetes dan jantung.

“Saya kena positif dan percaya bahawa setiaap penyakit pasti ada ubatnya dan saya menjalani rawatan perubatan di hospital dan dalam masa yang sama mencari ikhtiar perubatan secara tradisional,” katanya.

cuba pelbagai rawatan.
Tambah penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Niat ini, antara kaedah rawatan yang dilakukan adalah kimoterapi.

"Sehingga saat ini, saya sudah menjalani berpuluh kali rawatan kimoterapi, kali terakhir sebelum bulan Ramadan lalu. Saya berhenti rawatan kimoterapi kerana mahu tumpukan pada persembahan Gegar Vaganza dan berasakan hanya dengan berfikiran positif membuatkan saya lupa tentang penyakit,” ujarnya.

Ditanya mengapa memilih pentas GV untuk mengumumkan berita itu, Elyana berkata dia mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

Cari waktu yang sesuai untuk beritahu.
“Memang selama ini saya tercari-cari cara yang sesuai untuk mendedahkan penyakit saya ini kepada semua pihak. Setakat ini yang tahu saya sakit adalah keluarga, suami dan rakan terdekat. Apabila nama saya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, secara spontan saya terus memaklumkan perkara itu.

“Lagipun saya masuk pertandingan ini kerana desakan peminat dan apabila peminat dan semua pihak sudah tahu yang saya sakit, saya rasa lega sangat,” luah Elyana.

Bercerita mengenai perancangannya selepas ini, Elyana berkata dia akan terus aktif dalam bidang nyanyian sekali gus mempromosikan single terbarunya berjudul Ikhlas Dalam Pasrah.

“Kerjaya nyanyian saya akan berterusan seperti biasa. Saya ada single baharu ciptaan Tam Spider berjudul Ikhlas Dalam Resah dan kembali mempromosikan lagu itu selepas terhenti seketika disebabkan GV. Selain itu saya juga akan merakamkan lagu baharu ciptaan Aidit Alfian dan sedang mencari masa yang sesuai untuk berbuat demikian,” cerita Elyana.

#Selebriti #Selebriti