KAW
“Saya Tidak Akan Sesekali Membuka Hijab Di Khalayak” - Neelofa
Di sebalik keraguan sesetengah pihak yang kononnya melihat artis bertudung atas tujuan perniagaan, selain ada yang dikecam bersikap negatif hingga memberikan bayangan sebaiknya buka saja tudung itu, pengacara MeleTOP dan ahli perniagaan terkenal, Neelofa bagaimanapun tidak sesekali akan mengubah pendiriannya untuk membuka tudung yang dipakainya.

Baru-baru ini, pelakon yang sibuk di lokasi penggambaran drama Red Velvet bergandingan buat pertama kali dengan Alif Satar itu turut dikecam hebat daripada netizen kerana memuat naik gambar yang kononnya menampakkan bahagian lutut apabila memakai jeans koyak selain tampil mengenakan turban yang menampakkan rambut ketika menghadiri malam gala Swarovski di Milan, Itali.

“Ini bukan kali pertama saya menyarung jeans sebegitu dan mereka yang komen itu barangkali baru kali pertama melihat saya dengan gaya sebegitu selain tidak mengenali siapa saya sebenarnya.
“Saya tahu diri ini bertudung dan jelas memang saya mengenakan ‘inner’ (pakaian dalam) bersama jeans itu. Saya faham, biasalah, orang akan cuba mencari kesalahan memandangkan penampilan saya yang sebegini, jadi pelbagai kritikan akan terus dilemparkan," katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! di majlis pelantikan beliau sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary Gallery pagi semalam.

Neelofa turut menerima komen yang meminta dirinya membuka saja tudung disebabkan penampilan sebegitu, tetapi dia tegas berkata tidak sesekali akan menuruti permintaan sesetengah netizen.
"Saya tahu siapa diri ini dan saya suka memakai sesuatu yang dirasakan selesa. Saya pakai bukannya disebabkan suruhan orang lain. Saya juga tidak pernah terfikir untuk membuka hijab kerana inilah yang saya pilih sejak dari awal memakainya dulu.

"Sebagai wanita bertudung, kita tak boleh terikat dengan satu fesyen saja, sebaliknya ia buka ruang untuk kita jadi lebih bergaya. Dengan penampilan saya ini juga saya diterima dan dipandang orang luar ketika berada di Milan dan New York," katanya.
Neelofa juga tidak terkesan dengan komen negatif netizen, malah mahu terus menumpukan perhatian kepada kerjaya dan aktiviti yang dilakukannya selama ini.

"Kenapa orang suka menghukum sesuatu daripada melihat apa yang saya lakukan untuk negara, agama dan budaya ketika berada di sana?
“Saya diundang mewakili negara ke Persidangan Belia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di New York untuk bercakap selama 20 minit mengenai kepelbagaian budaya. Aktiviti sedemikian yang sepatutnya diberikan perhatian oleh masyarakat, bukannya perkara lain yang dianggap remeh,” katanya.
Must-Watch Video