Ramai yang cakap sayang bakat yang ada dinoktahkan begitu saja kepada Altimet apabila memutuskan untuk bersara pada tahun ini ketika usianya genap 40 tahun menjelang 27 November depan.

Malah tak kurang juga yang mempersoal kepada empunya diri bernama penuh Ahmad Abdul Rahman ini, tidak ralatkah membuat keputusan nekad begitu.

Hanya teruskan bidang penciptaan.

Bagi Altimet, dia enggan menoleh ke belakang lagi dengan apa yang sudah diputuskan sebelum ini. Bagi penyanyi lagu Amboi itu dia mahu berhenti ketika namanya masih disayangi dan diingati.

“Saya hanya mahu bersara dalam aspek menyanyi, merakamkan lagu dan membuat persembahan. Tapi passion saya terhadap penciptaan lagu masih akan diteruskan seperti biasa. Buat lagu memang jiwa saya.

Hidup sentiasa ada pilihan.

“Pasti akan rindu apabila tinggal semua ini. Macam rasa break up dengan awek pun ada dan seterusnya nak mula hidup baru. Ia akan jadi cabaran baru untuk saya tolong orang lain pula hasilkan muzik.

“Jadi sebelum saya ‘sendu’ baik saya ‘chow’. Siapa lagi ralat ketika nama di atas tetapi sudah tidak diterima berbanding berundur ketika nama masih diterima dan berada pada tahap selesa? Mungkin rasanya tak ada artis di Malaysia yang buat macam saya ini. Dalam hidup ini tak ada orang akan naik kereta sampai ‘barai’. Pasti bertukar ganti baru punya. Kereta itu perlambangan. Hidup ini kita sentiasa ada pilihan lain.

Bersyukur dengan rezeki yang diterima.

“Mungkin saat ini tak ada yang faham dengan tindakan dan keputusan saya ini. Lama-lama mungkin orang akan mulai sedar dan berkata, eh, mamat ini memang ‘jantan’! dia ‘chow’ masa tengah top,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Tambah Altimet lagi, dia mensyukuri nikmat rezeki yang diraih sejak menceburi dunia seni dari tahun 2000 lagi.

Bukan semua soal duit.

“Memang ada cakap, tengah up ini memang boleh buat duit. Tetapi kenapa nak bersara. Bagi saya ini semua bukan soal duit. Ia lebih kepada membuka ruang kepada cabaran baru.

“Dulu masa saya mula menyanyi, orang pandang skeptikal cakap lagu saya tak boleh jalan. Sekarang lain pula, orang cakap lagu Altimet apa saja boleh jalan. Jadi di mana cabaran saya sendiri dengan melihat konteks muzik itu sebagai produk jualan,” katanya.

Single Bunga selepas Juara Lagu.

Bagaimanapun sebelum bersara dua buah album lagi akan dihasilkan selain sebuah konsert yang dijadualkan sehari sebelum tarikh persaraannya itu.

“Ikut plan asal, album baru saya keluar tahun lalu. Tapi masalah pertukaran label syarikat rakaman, jadi saya tukar plan ke tahun ini. Single baru selepas Amboi berjudul Bunga juga akan muncul selepas persaingan saya di Anugerah Juara Lagu ke-32 nanti. Bunga ini masih berbaur pedas, ia mengenai hutang.

“Yang konsert itu pula saya rancang dibikin pada 26 November depan,” katanya.

Berlakon teater muzikal.

Altimet dalam perkembangan lain turut akan muncul menerusi teater muzikal pertama, Ola Bola The Musical memegang watak Sarjan Ahmad. Sekalipun watak kecil, teater yang akan dipentaskan dari 8 Februari hingga 11 Mac nanti di Panggung Sari, Istana Budaya tetap menguji dirinya.

Teater itu diterbitkan syarikat Enfiniti milik Datin Seri Tiara Jacquelina
“Kebetulan juga tarikh pementasan clash dengan Anugerah Juara Lagu ke-32. Saya akan ‘ponteng’ dua hari dan bahagian saya akan diganti pelakon understudy,” katanya.